“MAAF!”- Satu Lafaz Cukup Bermakna
Firman Allah SWT. yang bermaksud:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga
yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang
yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik
di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya
dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang
berbuat kebajikan".
(Surah Ali-Imran: 133-134)
ADAB MEMOHON MAAF
1. Menginsafi dan Mengakui Kesalahan
Sungguh bertuah orang yang cepat tersedar bila tersilap. Ternyata Allah
menyayanginya kerana tidak membiarkan dia berada lama-lama di dalam
dosa. Hadirnya rasa bersalah dalam diri bila melakukan kesilapan atau
dosa merupakan satu petanda adanya iman dalam diri seseorang.
2. Beristighfar dan Solat Taubat
Iltizamkan diri dengan istighfar setiap hari seperti yang diamalkan
oleh Rasulullah SAW. Bila buat kesilapan, cepat-cepat beristighfar tanda
tidak ingin lagi meneruskan dosa itu. Seterusnya, perbanyakkan Solat
Taubat mohon keampunan Allah di atas keterlanjuran. Solat Taubat selain
mengembalikan kita kepada maghfirah Allah, ia juga memberi ketenangan
jiwa serta mempermudahkan segala urusan hidup.
3. Bertemu Muka dan Bersalaman
Bertemu muka, bersalaman (mengikut batas syarak) dan memandang wajah
orang berkenaan ketika meminta maaf juga menunjukkan kerendahan hati dan
kesungguhan untuk melakukannya. Namun jika ada halangan untuk bertemu,
permohonan maaf tetap perlu dilakukan dengan kaedah-kaedah lain mengikut
kemampuan seperti melalui panggilan telefon etc.
4. Memohon Maaf Secara Umum atau Menyebut Kesalahan Secara Spesifik
Ada 2 pendapat berkaitan perkara ini;
Pertama, ada ulamak yang berpendapat meminta maaf secara umum adalah
memadai tanpa menyebut jenis kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai jika
bertemu di majlis keramaian, hari raya dan sebagainya.
Kedua, ada
pendapat ulamak yang mengatakan lebih baik memohon maaf dengan menyebut
secara spesifik jenis kesalahan yang dilakukan. Kaedah ini sesuai jika
kedua pihak bertemu di tempat yang ada privacy supaya tidak tersebar
sebarang keaiban.
5. Hindari Menyalahkan Orang Lain
Sesetengah orang mungkin terasa malu dan sangat berat hati untuk meminta
maaf. Jadi dia turut mengaitkan kesalahan orang lain ketika meminta
maaf. Menyebut dan menyeret kesalahan orang lain dan menyamakannya
dengan kesilapan diri sendiri sepatutnya dijauhi. Juga tidak perlu
memberi 'tazkirah' terlebih dahulu sebelum meminta maaf, kerana ditakuti
perbuatan seperti itu boleh melukakan hati dan menyukarkan proses
permohonan maaf. Cukuplah sekadar meminta maaf bagi diri sendiri kerana
sedar telah melakukan kesalahan. Buang rasa malu dan berat hati. Fokus
kepada niat yang betul, memohon maaf kerana Allah untuk mendapat
keredhaan-Nya.
6. Ikhlaskan Diri
Mohonlah kemaafan dengan
sepenuh hati tanpa paksaan sesiapa dan tanpa tujuan-tujuan tersembunyi.
Jika telah meminta maaf dengan ikhlas, sama ada dimaafkan atau tidak,
urusan dengannya telah selesai. Teruskan memohon keampunan dari Allah
SWT. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui.
Jadilah insan yang MUDAH. Mudah meminta maaf dan mudah memberi maaf
No comments:
Post a Comment