Saturday, January 30, 2016

Adab dan Kaedah Memohon Maaf

“MAAF!”- Satu Lafaz Cukup Bermakna

Firman Allah SWT. yang bermaksud:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan".
(Surah Ali-Imran: 133-134)

ADAB MEMOHON MAAF

1. Menginsafi dan Mengakui Kesalahan
Sungguh bertuah orang yang cepat tersedar bila tersilap. Ternyata Allah menyayanginya kerana tidak membiarkan dia berada lama-lama di dalam dosa. Hadirnya rasa bersalah dalam diri bila melakukan kesilapan atau dosa merupakan satu petanda adanya iman dalam diri seseorang.

2. Beristighfar dan Solat Taubat
Iltizamkan diri dengan istighfar setiap hari seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Bila buat kesilapan, cepat-cepat beristighfar tanda tidak ingin lagi meneruskan dosa itu. Seterusnya, perbanyakkan Solat Taubat mohon keampunan Allah di atas keterlanjuran. Solat Taubat selain mengembalikan kita kepada maghfirah Allah, ia juga memberi ketenangan jiwa serta mempermudahkan segala urusan hidup.

3. Bertemu Muka dan Bersalaman
Bertemu muka, bersalaman (mengikut batas syarak) dan memandang wajah orang berkenaan ketika meminta maaf juga menunjukkan kerendahan hati dan kesungguhan untuk melakukannya. Namun jika ada halangan untuk bertemu, permohonan maaf tetap perlu dilakukan dengan kaedah-kaedah lain mengikut kemampuan seperti melalui panggilan telefon etc.

4. Memohon Maaf Secara Umum atau Menyebut Kesalahan Secara Spesifik
Ada 2 pendapat berkaitan perkara ini;
Pertama, ada ulamak yang berpendapat meminta maaf secara umum adalah memadai tanpa menyebut jenis kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai jika bertemu di majlis keramaian, hari raya dan sebagainya.
Kedua, ada pendapat ulamak yang mengatakan lebih baik memohon maaf dengan menyebut secara spesifik jenis kesalahan yang dilakukan. Kaedah ini sesuai jika kedua pihak bertemu di tempat yang ada privacy supaya tidak tersebar sebarang keaiban.

5. Hindari Menyalahkan Orang Lain
Sesetengah orang mungkin terasa malu dan sangat berat hati untuk meminta maaf. Jadi dia turut mengaitkan kesalahan orang lain ketika meminta maaf. Menyebut dan menyeret kesalahan orang lain dan menyamakannya dengan kesilapan diri sendiri sepatutnya dijauhi. Juga tidak perlu memberi 'tazkirah' terlebih dahulu sebelum meminta maaf, kerana ditakuti perbuatan seperti itu boleh melukakan hati dan menyukarkan proses permohonan maaf. Cukuplah sekadar meminta maaf bagi diri sendiri kerana sedar telah melakukan kesalahan. Buang rasa malu dan berat hati. Fokus kepada niat yang betul, memohon maaf kerana Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.

6. Ikhlaskan Diri
Mohonlah kemaafan dengan sepenuh hati tanpa paksaan sesiapa dan tanpa tujuan-tujuan tersembunyi. Jika telah meminta maaf dengan ikhlas, sama ada dimaafkan atau tidak, urusan dengannya telah selesai. Teruskan memohon keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui.

Jadilah insan yang MUDAH. Mudah meminta maaf dan mudah memberi maaf

Saturday, January 9, 2016

Pengurusan Cinta Menurut Perspektif Islam



MEMAHAMI DAN MENGHAYATI PENGURUSAN CINTA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM MERUPAKAN SALAH SATU ALTERNATIF MENANGANI GELAJA SOSIAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT[1]

Mohd Ismail bin Mustari, Bushrah bt. Basiron,
Nurazmallail bin Marni


Abstrak

Cinta merupakan fitrah dan anugerah Ilahi yang amat istimewa dalam kehidupan seseorang insan. Ramai di kalangan masyarakat khususnya remaja dan belia yang fana’ diulit perasaan cinta sehingga terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral. Bila perasaan cinta membara dan subur tanpa mempunyai kefahaman dan penghayatan yang betul seseorang itu akan kecundang dan tersungkur sehingga hilang hala tuju kehidupan. Gejala sosial yang terpapar di dada akhbar dan media elektronik saban hari kebanyakannya berpunca dari salah faham dan kegagalan menguruskan cinta dengan sempurna. Kertas kerja ini cuba mengemukakan pandangan terhadap pemahaman dan penghayatan cinta yang sebenar dari perspektif Islam. Bagaimana seseorang insan menguruskan perasaan cinta yang lahir dalam kehidupan mereka. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil apabila timbulnya perasaan cinta dalam kehidupan seseorang. Hanya dengan kefahaman dan pengurusan cinta yang betul akan menjadi salah satu alternatif dalam menangani gejala social yang berpunca dari cinta.


1.0       Pendahuluan


Manusia merupakan makhluk yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian dan kesempurnaan. Memiliki perasaan cinta adalah satu fitrah dalam kehidupan manusia. Cinta menjadi indah dan bermakna jika disandarkan kepada Tuhan dan tidak dicemari dengan tindakan dan tingkah laku yang melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam. Secara umumnya, masyarakat belum dapat mempraktikkan pengurusan cinta yang tepat dan kerapkali terjebak dalam gejala sosial yang dahsyat seperti perzinaan, kehamilan luar nikah,  pengguguran bayi, tergadainya harta, usia dan sebagainya. Gejala sosial yang meruntuhkan akhlak dan moral ini ternyata begitu membimbangkan semua pihak terutamanya ibu bapa dan keluarga. Antara faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala tersebut ialah pemahaman yang cetek tentang ajaran agama dan pengurusan cinta yang betul, pendidikan keluarga, pengaruh rakan sebaya, peranan media cetak dan elektronik, kegagalan mengawal emosi dan sebagainya.
 

2.0      Definisi Cinta

Menurut Kamus Dewan, cinta bermaksud perasaan atau berperasaan sangat berahi, asyik, kasih dan sayang antara lelaki dan perempuan. Cinta juga bermaksud sangat sayang kepada negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain.[2] Definisi cinta bergantung kepada penghayatan seseorang individu. Cinta bukanlah kata murah atau lumrah dituturkan dari mulut ke mulut. Cinta merupakan anugerah Tuhan yang paling agung dan paling murni jika manusia dapat menilai kesuciannya. Cinta yang sihat dan utuh adalah berdasarkan kasih sayang yang sentiasa dikawal oleh akal fikiran yang waras.[3]  Cinta juga diertikan sebagai suatu perasaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dirasai dengan mengalaminya sendiri. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung dan merupakan motivasi terbaik manusia.[4]

            Al-Ashmu’i pernah bertanya kepada seorang A’rabi tentang “al-Isyq”(keterpikatan). Ia berkata: “Demi Allah, sesungguhnya sebuah cinta teramat agung untuk dapat dilihat. Ia luput dari penglihatan manusia, ia ada di dalam dada bersemayam sebagaimana api bersemayam dalam batu. Jika dinodai ia akan membakar, dan jika dicuba untuk ditinggalkan ia akan selalu membayangi”. Selain itu, Imam Ibnu Qayyim  menyatakan bahawa percintaan tidak secara keseluruhannya terpuji dan tidak pula tercela keseluruhannya. Akan tetapi terpuji dan tercela secara keseluruhannya bergantung kepada konteksnya.  Imam Ibnu al-Jauzi pula menjelaskan bahawa kecintaan, kasih sayang dan ketarikan terhadap sesuatu tidaklah merupakan hal yang tercela. Tetapi cinta yang melewati batas sehingga menguasai akal dan mendorong kepada maksiat itulah cinta yang terlarang.

            Seorang pujangga Arab bermadah,
إنَّ المُحِبَّ لِمَنْ يُحِبُّ مُطِيْعٌ
‘Sesungguhnya seseorang kekasih menyerah kepada orang yang dikasihinya’

Adalah menjadi tabiat dan sifat semula jadi seseorang itu apabila telah jatuh cinta kepada seseorang, maka dia akan menyerah dan mematuhi kekasihnya. Ketidak patuhan kepada kepada yang dikasihi adaah begitu berat baginya sebagaimana ia tidak mahu mematuhi kepada orang yang tidak dicintainya[5].

3.0      Cinta Sebenar Dari Perspektif Islam

Menurut perspektif Islam, cinta yang sebenar dan teragung adalah cinta kepada Pencipta, diikuti dengan cinta kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.aw. dan  ibu bapa. Ini berbeza dengan konsep cinta yang difahami oleh masyarakat terutamanya remaja bahawa cinta hanya terbatas terhadap semasa manusia khususnya hubungan yang terjalin antara lelaki dan wanita. Cinta dalam Islam memfokuskan perasaan cinta terhadap Allah s.w.t. yang menjadi asas dalam menguruskan cinta yang lahir sesama manusia. Cinta dari perspektif Islam adalah suci dari elemen-elemen negatif yang dipengaruhi oleh nafsu seperti keinginan berdua-duaan, berpegangan tangan dan pelbagai jenis kemaksiatan yang lahir dari perasaan cinta yang tidak terkawal dengan ruh Islam.

            Lumrahnya, manusia lupa untuk mendekatkan diri kepada Tuhan apabila  perasaan dipenuhi cinta terhadap pasangan masing-masing. Malah yang diingati dan diutamakan hanyalah keseronokan, kebahagiaan dan kenikmatan yang sukar digambarkan dengan perkataan. Keadaan inilah yang mencorakkan satu fenomena kelalaian dan kealpaan manusia terhadap tanggungjawabnya terhadap Maha Pencipta termasuk tanggungjawabnya menjaga, menangani dan menguruskan perasaan cinta agar selari dengan kehendak Islam. Jika manusia meletakkan Allah s.w.t di tempat yang paling utama di hati dan mendahulukan kepatuhan terhadapNya, mereka akan mudah mendepani dan menangani segala perasaan dan cabaran yang mendatang. Allah s.w.t. berfirman:[6]

وَمِنْ كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونْ. الذاريات 51:49

“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamumengingati kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami”.

Menangani masalah cinta juga tidak lari dari ruang lingkup ibadah dalam Islam. Mencintai sesama manusia kerana Allah s.w.t. merupakan satu ibadah selagi perasaan tersebut terpelihara dari perbuatan maksiat dan tingkah laku yang keji dan tercela. Malah jika diuji dengan perasaan cinta, balasan yang baik diberikan kepada orang yang bersabar menghadapainya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن عِظََمَِ الجَزَاءُ مَعَ عِظََمِِ البَلاَءِ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَى وَمَنْ سَخِطََ فَلَهُ السُّخْطُ


“Sesungguhnya besarnya sebuah balasan adalah sesuai dengan beratnya ujian, maka barangsiapa redha, dia akan memperoleh keredhaan dan barang siapa yang marah maka dia akan beroleh kemarahan”.

Sabda Rasulullah juga bersabda :
 عن أبو سعيد بن سيدمن من مشهر من أبو يحي القوتاب من مجاهد من بن عباس رضى الله عنه : مَنْ عَشَقَ وَكَتَمَ وَعَفَّ وَصَبَرَ، غَفَرَ اللهُ لَهُ وَأَدْخَلَهُ الجْنَةَّ.

“ Barangsiapa yang jatuh cinta kemudian dia mampu menyembunyikannya, menjaganya dan bersabar, maka Allah akan mengampuni orang tersebut dan memasukkannya ke dalam syurga”.

Allah s.w.t. telah mengingatkan manusia agar tidak mengutamakan cinta kepada keduniaan dan kebendaan melebihi cinta kepada Allah dan RasulNya kerana mereka akan menerima azab seksa dan tidak akan diberi petunjuk. Antara peraturan cinta yang ditetapkan oleh Allah ialah seperti yang disebutkan di dalam firmanNya:[7]


قُلْ إِنْ كَانّ ءَابَآؤُكُمْ وَأبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌُ اقْتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنَ تَرْضَوْنَهآ أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهِ فَتََرَبَّصُواْ حَتَّى يَأتِىَ اللهُ بِأَمْرِهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الْفَاسِقِيْنَ.
 “Katakanlah Wahai Muhammad: “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, jika semua itu menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah Mendatangkan keputusannya (azab seksanya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”.  

Menurut al-Qurtubi didalam tafsirnya, ‘ayat ini menjadi dalil wajib cinta kepada Allah dan Rasul-Nya dan cinta ke atas keduanya hendaklah mengatasi cinta kepada yang lain. Selepas daripada kecintaan ini barulah cinta kepada jihad di jalan Allah[8].

Oleh itu, cinta menurut perspektif Islam mestilah berpandukan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w. agar tidak menyimpang ke jalan kesesatan yang menjanjikan dosa dan balasan azab siksa di akhirat kelak. Cinta terhadap pencipta yang diurus dengan sempurna dan terancang akan melahirkan cinta-cinta lain yang subur di dalam jiwa seseorang untuk memperkasakan ketaqwaan dan keimanan.

4.0     Pengurusan Cinta Menurut Perspektif Islam

Memahami dan menghayati pengurusan cinta dari prespektif Islam boleh menjadi penawar kepada setiap insan yang sedang dilanda dengan permasalahan cinta. Cinta sebenarnya bagai gedung motivasi yang terlalu luas perbincangannya. Tanpa pengurusan yang terancang sumber yang menjadi motivasi ini boleh bertukar kepada virus negatif dan boleh membawa seseorang lebih hina daripada haiwan. Pengurusan cinta menurut perspektif Islam boleh  diklasifikasikan kepada beberapa peringkat cinta mengikut keutamaannya mencakupi cinta kepada Allah sebagai Pencipta, cinta kepada Rasul, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada negara dan cinta sesama manusia. Kefaham yang betul dan sempurna amat penting bagai memastikan setiap insane tidak terpesong untuk menjadi hamba cinta yang berteraskan nafsu dan syaitan.

4.1        Cinta Kepada Allah

         Islam meletakkan cinta yang terulung dan tertinggi dalam kehidupan manusia adalah cinta kepada Allah s.w.t. Ketinggian nilai taqarrub al-Abid (hamba) kepada al-Khaliq (Pencipta) dizahirkan melalui cinta murni kepada Pencipta. Makna cinta dalam Islam terlalu besar pengertiannya. Oleh kerana itu, konsep cinta dan kasih sayang kepada Allah s.w.t. dikenali sebagai “halawatul iman”(kemanisan iman) atau nikmat yang sebenar. Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi impian dan kebanggaan kerana memilikinya bukanlah sesuatu yang mudah kecuali dengan pengabdian yang ikhlas terhadapNya. Cinta kepada Allah merupakan anugerah tertinggi yang tiada tandingannya malah untuk memilikinya manusia terpaksa melalui pelbagai cabaran yang menuntut pengorbanan yang sangat tinggi. Firman Allah s.w.t.:[9]

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُوْنِ اللهِ أنْدَادًا يُحِبُّوْنَهُمْ كحب الله والذين ءامنوا أشد حبا لله ولو يرى الذين ظلموا إذ يرون العذاب أن القوة لله جميعا وأن الله شديد العذاب

)Walaupun demikian), ada juga antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”
Cinta terhadap Allah bukanlah kerana kerana nafsu tetapi kerana unsur kepercayaan dan  keyakinan yang mantap terhadap Tuhan yang Esa. Cinta ini lahir disebabkan dorongan ketaqwaan terhadap Allah s.w.t yang sebut sebagai cinta rohaniah.[10] Sesungguhnya cinta terhadap Allah boleh dibuktikan melalui kepatuhan terhadap al-Quran, suruhan dan laranganNya. Dalam konteks percintaan ini, menjadi kewajipan manusia meletakkan kecintaan dan keimanan terhadap Allah mendahului segala keinginan duniawi.

Al-Qurtubi menegaskan, cinta Allah kepada hambanya dengan memberikan keampunan. Menurut Sahl bin Abdullah di dalam kitab al-Qurtubi, Tanda cinta kepada Allah kita cinta al-Qur’an, tanda kita cinta kepada al-Qur’an, cinta kepada Nabi, dan tanda cinta kepada Nabi, cinta kepada sunnahnya. Tanda cinta kepada Allah, al-Qur’an, Nabi dan sunnahnya adalah cinta kepada akhirat.

4.2                 Cinta Kepada Rasul

Rasul adalah utusan Allah untuk menjadi pembimbing manusia menuju keredhaanNya. Rasulullah s.a.w, sebagai Rasul yang terakhir telah menempuhi pelbagai onak duri, tentangan dan cacian semata-mata ingin menegakkan syiar Islam di muka bumi. Selayaknya, Baginda dicintai oleh seluruh umatnya biarpun Rasulullah s.aw. telah tiada. Umat Islam patut menjadikan para Sahabat r.a. yang sanggup bergadai nyawa dengan menjadikan tubuh mereka sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh untuk diteladani. Biarpun faktor masa telah memisahkan Rasulullah dengan umatnya namun kecintaan terhadap Baginda dapat dibuktikan  dengan kesungguhan untuk mematuhi sunnahnya. Menjulang dan membawa panji sunnah Baginda dengan cara mengamalkannya dalam kehidupan sehari. Cinta ke[pada sunnah Nabi ini akan membawa kesempurnaan kepada cinta kepada Allah S.W.T.

4.3                 Cinta Kepada Ibu bapa

Cinta kepada kedua ibu bapa boleh diertikan sebagai “birrul waalidain” atau berbuat baik kepada ibu bapa. Konsep berbuat baik ini tidak hanya menfokuskan kepada perbuatan-perbuatan baik sahaja, malah merangkumi  rasa cinta, kasih dan sayang yang amat mendalam terhadap mereka. Malah mengatakan perkataan “uh” kepada keduanya dianggap dosa besar dalam Islam. Keindahan Islam terserlah dengan mengajar penganutnya menghormati dan mencintai ibu bapa yang telah bersusah payah menjaga mendidik anak-anak tanpa mengenal jemu. Allah s.w.t. berfirman:[11]

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil”.

4.4        Cinta Kepada Negara

Istilah “jihad” amat berkaitan dengan kecintaan manusia kepada negara. Rasulullah s.a.w. menyentuh persoalan kasih dan cinta kepada negara sebagai “hubbul watan minal iman” atau cinta dan kasih kepada negara sebagai sebahagian dari tuntutan iman. Selain persoalan akidah dan iman, semangat cintakan negara dan mempertahankannya dari musuh-musuh Islam telah menjadi antara agenda utama yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam mestilah peka dengan tindak tanduk musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari peluang memusnahkan umat Islam secara langsung atau tidak langsung.

4.5              Cinta Sesama Manusia

Cinta adalah fitrah yang wujud bersama kewujudan manusia di dunia ini. Secara dasarnya, Islam tidak melarang penganutnya mengasihi antara satu sama lain malah amat menggalakkannya seperti hubungan kasih sayang yang pernah terjalin antara kaum Muhajirin dan Ansar dan kasih sayang sesama jiran tetangga. Bagaimana pun, manusia kini lebih menumpukan kepada hubungan cinta yang terjadi di semua peringkat umur sama ada remaja, dewasa dan orang tua.

Antara cinta yang mulia dan digalakkan dalam Islam ialah cinta suami isteri. Dalam hubungan suami isteri, kita harus mencintai pasangan kita seadanya. Kenyataannya kita tidak akan bertemu manusia yang sempurna, pasti ada kekurangannya jika tidak pada tubuh badan mungkin pada hati dan sikapnya.[12]Setelah keputusan dibuat dan merasmikannya melalui ijab dan kabul, suami dan isteri tidak patut lagi berpatah balik. Kasih, sayang dan cinta mesti dipupuk dan dibaja untuk mencapai kecemerlangan dalam rumahtangga. Pada ketika ini tumpuan mestilah diberi untuk membina keluarga bahagia apatah lagi dengan kehadiran anak-anak yang amat memerlukan perhatian, kasih sayang dan kehadiran ibu bapa. Berpaling mencintai wanita dan lelaki lain menjadi antara penyebab kehancuran rumahtangga dan kesan tidak hanya dirasai oleh pasangan suami isteri malah anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Di zaman moden ini, menyintai suami atau isteri orang adalah perkara biasa biarpun ia dianggap episod yang terkeluar sama sekali dari peradaban manusia beragama.[13]

Bagi golongan remaja, mereka mesti memastikan bahawa cinta yang hadir tidak melalaikan mereka dari mentaati Allah, Rasul dan ibu bapa dan tidak meletakkan mereka dalam golongan orang-orang yang dimurkai Allah. Hakikatnya cinta yang bertunjangkan hawa nafsu dan syahwat hanyalah cinta palsu yang penuh kehinaan kerana mendorong pemiliknya melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Selain remaja, golongan dewasa dan tua juga tidak terlepas dari panahan cinta. Malangnya ada yang berkeluarga dan mempunyai suami dan isteri masing-masing tetapi bercinta bagaikan pasangan remaja. Semua yang ditempuhi dalam hidup mempunyai tempoh hayatnya. Bagi golongan ini episod dunia remaja sudah berakhir. Bagi yang berkeluarga, tumpuan ialah terhadap kecemerlangan keluarga bukannya percintaan terlarang. Percintaan antara orang tua juga amat memalukan dan mudah terbabas malah jika berlaku mungkin mengatasi cinta dan perlakuan orang muda.[14]

            Jelasnya cinta sesama manusia perlulah dibina dengan akhlak yang terpimpin dengan ruh agama antaranya:

i)                    Perasaan cinta kepada manusia perlulah dibina atas dasar cinta kepada Allah
ii)                   Jadikan cinta kepada manusia sebagai satu wadah untuk mendapatkan keredhaanNya
iii)                 Sentiasa mendahulukan kehendak Allah dan Rasul sebelum memenuhi kehendak manusia yang dikasihi
iv)                 Sentiasa mengutamakan ibadah kepada Allah seperti berzikir dan bermunajat tanpa terleka dengan nikmat cinta sesama manusia

4.6       Cinta Kepada Makhluk

Cinta kepada makhluk yang dimaksudkan di sini adalah cinta kepada seluruh makhluk Allah di atas nuka bumi ini selain daripada manusia. Ini kerana cinta kepada sesama manusia telah diterangkan secara khusu di atas. Cinta kepada makhluk Allah ini termasuklah cinta kepada binatang peliharaan, rumah yang menjadi tempat kediaman, pokok-pokok yang ditanam, kenderaan, pakaian, barang perhiasan, keindahan alam seperti laut, sungai, bintang, bulan, matahari, pemandangan alam, awan, langit dan sebagainya.

            Segala bentuk kecintaan kita kepada makhluk ini perlu dipastikan ia tidak mengatasi cinta dan ketaatan kita terhadap perintah Allah S.W.T., rasul s.a.w., jihad dan kecintaan yang dituntut dalam kehidupan kita seperti cinta kepada kedua ibu bapa, isteri, kaum keluarga, sahabat, anak-anak, ilmu dan perkara-perkara yang lebih utama daripada kecintaan terhadap makhluk lain secara umum.

5.0              Contoh Kecelaruan Cinta Yang Berlaku Dalam Masyarakat

Jika diperkatakan tentang kecelaruan cinta, terlalu banyak kes yang berlaku sama ada didedahkan atau disembunyikan. Yang pasti, kes-kes yang berlaku begitu memalukan dan menjijikkan. Kes-kes yang dipaparkan disini merupakan kes benar yang berlaku dalam masyarakat kita:

Kes 1:

X merupakan pelajar tahun dua di sebuah pusat pengajian tinggi dan amat cemerlang dalam pengajian. X telah berkenalan dengan lelaki sebaya yang hanya pekerja kilang. Cinta yang tidak terkawal menyebabkan mereka mudah tewas melawan nafsu. Pertemuan pada cuti pertengahan semester menjadi titik tolak keterlanjuran hubungan mereka. Apa yang menyedihkan perbuatan ini berlaku dirumah abang si lelaki setiap hari. Abang dan kakak ipar tidak membantah malah mengizinkan bilik mereka diguna oleh pasangan tersebut untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Akibatnya, selepas kembali ke kampus, X disahkan hamil dan terpaksa menangguhkan pengajian. Lelaki yang dicintainya pula enggan berkahwin atas faktor umur yang masih muda dan menggesa X menggugurkan kandungannya.

Kes 2:

A seorang yang berpengaruh disebuah kampung telah ditangkap bersama pasangannya di kebun getah takkala hari menjelang subuh. Pasangannya adalah isteri orang yang mempunyai anak remaja. A juga dalam situasi yang sama. Keduanya ditangkap dalam keadaan yang amat memalukan.


Kes 3:
 
T seorang gadis berusia 14 tahun dan sedang menuntut ditingkatan 2.  Berulang alik dari rumahnya ke sekolah dengan menaiki bas. Pak Cik K seorang pemandu bas yang baik hati dalam lingkungan awal 40an. Setiap hari dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah T akan mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan Pakcik K. Hari berganti hari perbualan biasa menjadi perkongsian hati. Pak Cik K sering memberikan pujian kepada Y dari aspek kekemasan pakaian, rambut, senyuman, susuk tubuh, suara dan sebagainya. Akhirnya Y jatuh hati kepada Pak Cik K. Hubungan yang begitu intim membawa Y lupakan maksud pergi ke sekolah. Apa yang difikirkannya adalah pujian dan setuhan fizikal dari Pak Cik K. Y mula pandai ponteng sekolah dan bersiar dengan Pak Cik K. Akhirnya Y terjebak dengan keterlanjuran kerana ingin membuktikan cinta yang setia. Y menjadi ketagih seks dan beliau semakin kerap ponteng sekolah dan berdua-duaan di rumah Pak Cik K kerana isteri dan anak-anaknya tiada di rumah di waktu pagi. Akhirnya perbuatan yang terkutuk itu dihidu oleh isteri Pak Cik K dan pihak sekolah hasil lapuran pelajar-pelajar yang lain. Isteri Pak Cik K minta diceraikan dan Y berkahwin dengan Pak Cik Kl dalam usia yang terlalu muda kerana sudah terlanjur.

Kes 4:

H merupakan seorang siswi di IPTA. Berasal dari sebuah kampung pendalaman. H raskan kehidupannya kosong kerana tiada teman lelaki di sisi. Rakan-rakan H yang lain kebanyakkannya mempunyai teman istimewa dan mereka sering mengadakan pertemuan dengan pasangan masing-masing. H rasakan alam percintaan terlalu menarik lebih-lebih lagi bila melihat filem-filem yang ditayangkan di kaca TV. Akhirnya H bertekad untuk bersiar-siar di pusat membeli belah secara berseorangan untuk mencari teman lelaki. Keinginan H tertunai. H berkenalan dengan seorang lelaki bernama Z. H terlalu mudah menyerahkan perasaan sepenuhnya kepada Z walaupun baru berkenalan. Z merupakan seorang pekerja kilang yang berkelulusan PMR. Z sering meminjam duit H dengan jumlah yang banyak. Terkadang RM500, RM1000 dan RM3000. Bila H mengatakan tiada wang, Z akan berhelah, ‘memang H tidak sayangkan Z’, ‘tak kesian dengan Z’ dan pelbagai kata-kata lagi. Akhirnya H mula berhutang dengan rakan-rakan sekuliah. H bukan sahaja menyerahkan duitnya kepada Z tetapi lebih jauh daripada itu tubuhnya juga diserahkan bersama sebagai lambang kesetiaan kepada Z. Akhirnya setelah segala keinginan Z tercapai, Z meninggalkan H keseorangan. Duit hilang tubuh tergadai dan hutang dikeliling pinggag serta pelajaran terabai.

6.0              Langkah-langkah Yang Perlu Diambil Apabila Perasaan Cinta Lahir Di Jiwa

6.1              Pendidikan

Islam menitikberatkan ilmu dan pendidikan dalam kehidupan manusia. Pendidikan yang sempurna yang diasaskan dengan pengetahuan agama yang mendalam dapat membantu individu yang terperangkap dalam permasalahan cinta. Selain dari guru-guru yang memberikan pendidikan formal di sekolah, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memberi didikan dan bimbingan kepada anak-anak seperti yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. malah mereka dicela jika gagal berbuat demikian. Ini kerana anak-anak yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan tidak mempunyai pedoman dalam melakukan apa jua pekerjaan dan tindakan dalam kehidupan.[15] Allah s.w.t berfirman:[16]

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kebesaran Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Dalam soal cinta, keimanan dan ketaqwaan amat penting dan ia tidak datang begitu saja tetapi perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan bimbingan-bimbingan agama. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengasuh anak-anak menjadi orang yang bertaqwa sejak mereka masih kecil lagi. Pengetahuan agama yang cukup akan menjadi bekalan dan asas untuk mereka menguruskan cinta mengikut syariat Islam dan tidak mudah terjebak dalam kancah kemaksiatan. Selain pendidikan keluarga yang diterajui oleh ibu bapa di rumah, pendidikan kaunseling juga amat perlu khususnya untuk individu yang menghadapi masalah dalam percintaan seperti cinta terhalang, hamil luar nikah, ditinggalkan pasangan dan pelbagai keterlanjuran lain akibat kegagalan menguruskan cinta dan emosi dengan sempurna. Peranan pendidikan kaunseling ini penting bagi memastikan individu yang terlibat tidak hilang punca dan arah tuju selepas melakukan kesilapan dalam hidup. 


6.2              Pemakanan

Untuk memastikan diri sentiasa dilindungi, dirahmati dan dijauhi dari melakukan maksiat, menjaga pemakanan adalah salah satu aspek yang amat penting. Setiap individu muslim wajib memastikan setiap makanan yang dimakan diperolehi dari sumber yang halal dan diredhai Allah. Ini kerana setiap yang masuk ke tubuh manusia akan menjadi darah daging yang pastinya mempengaruhi sikap, fikiran dan setiap tindakan yang dilakukan. Firman Allah s.w.t.:[17]

“Hai sekalian manusia,  makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu”.

6.3              Pergaulan

Dalam Islam, pergaulan antara satu sama lain amat digalakkan namun mempunyai batas-batas dan peraturan yang ditetapkan mengikut syariat Islam. Pergaulan antara anak dan ibu bapa, adik beradik, saudara mara ,  golongan mahram dan bukan mahram, semuanya tidak terlepas dari garis panduan dan kawalan agama. Ini adalah untuk menjamin keselamatan, keturunan, kehormatan diri dan sebagainya. Dalam konteks percintaan, setiap individu perlu memastikan pergaulan mereka bersama pasangan tidak melanggar batas-batas syariat yang ditentukan oleh agama. Pertemuan, perbualan, tingkah laku yang lahir dari perasaan cinta yang tidak terkawal dan dipengaruhi nafsu amat dicela kerana akan membawa kecelakaan dan kehancuran dalam hidup pelakunya. Dalam hal ini, ibu bapa sebagai orang yang paling hampir kepada anak-anak khususnya remaja perlu berperanan menjelaskan tentang adab sopan dan batas-batas yang perlu diikuti dalam pergaulan. Pergaulan mereka memerlukan pemantauan yang berterusan dari ibu bapa pada setiap masa. Sikap ibu bapa dan anggota keluarga yang tidak mengambil berat dan “lepas tangan” terhadap pergaulan remaja telah terbukti meninggalkan kesan negatif yang boleh memalukan semua pihak.

6.4              Aktiviti Yang Positif

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengawal perasaan cinta yang membara sesama manusia ialah dengan memenuhi masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang positif seperti beriadah, bersukan, mengikuti kuliah-kuliah agama dan sebagainya. Melayani perasaan yang bergelora tanpa sebarang aktiviti berfaedah boleh mendorong seseorang individu melakukan perkara-perkara yang dilarang bersama pasangannya. Jika masa yang terluang tidak dipenuhi, pemikiran hanya akan ditumpukan sepenuhnya kepada perasaan cinta yang memenuhi jiwa. Akibatnya, pelbagai tindakan yang tidak wajar akan dilakukan oleh pasangan bercinta sehingga membawa kepada keterlanjuran yang begitu menjijikkan.

Amalan membaca al-Quran setiap hari patut dijadikan rutin harian bagi setiap insan. Membaca sambil menghayati makna dan kandungan al-Quran akan mendekatkan diri kita kepada Tuhan dan menimbulkan keinsafan terhadap hakikat kejadian manusia serta fungsi dan peranan kita sebagai hambaNya. Selain membaca al-Quran, setiap individu boleh mengisi masa yang terluang dengan zikrullah (berzikir mengingati Allah). Seseorang yang mengamalkan zikrullah berada dalam keadaan mengingati Allah s.w.t. Dengan mengingati Allah pula, seseorang itu akan sentiasa mengingati hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam setiap langkah dan perbuatannya[18] 

6.5              Doa

Berdoa merupakan amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dari Ubadah bin Somit r.a. yang bermaksud:

“ Tidak ada seorang Muslim pun yang berdoa di atas muka bumi ini dengan satu permohonan, melainkan Allah s.w.t. mengurniakan permintaannya, ataupun menjauhkannya dari keburukan yang mengenainya, selama mana yang diminta itu bukan merupakan dosa ataupun memutuskan silaturrahim”.

Apabila seseorang individu lalai dan melakukan dosa, menjadi tanggungjawabnya untuk berdoa memohon keampunan dari Allah serta bertaubat dengan bersungguh hati. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, al-Tirmizi, al-Nasa’ dan Ibnu Majah:

“Apabila seseorang itu berbuat dosa, maka terjadilah titik hitam di dalam hatinya, Apabila dia bertaubat, menjadi bersihlah hatinya. Tetapi apabila dia menambah perbuatan dosa, semakin bertambahlah titik hitam itu”.

Oleh itu, individu yang bercinta mestilah sentiasa berdoa agar dijauhkan dari melakukan maksiat dan dosa. Walaupun bagaimana pun, doa yang dilakukan mestilah mengikut syarat-syarat dan adab-adab tertentu yang ditentukan oleh ajaran Islam.Sebagaimana sembahyang dan zikrullah, doa perlu dijadikan amalan seharian untuk memastikan setiap perlakuan dan tindakan manusia sentiasa berada di bawah rahmat keampunan dan keredhaanNya.

7.0      Kesimpulan

Cinta merupakan sesuatu yang indah dan sempurna jika diletakkan tepat pada tempatnya dan cinta boleh bertukar kepada sesuatu yang amat hina dan menjijikkan jika disalahgunakan. Perasaan cinta boleh hadir dalam jiwa seseorang pada bila-bila masa tanpa dipinta dan disedari olehnya. Menurut perspektif Islam, perasaan cinta yang hakiki hanyalah untuk Allah s.w.t mendahului dan melebihi cinta kepada Rasul, ibu bapa, negara dan sesama manusia. Cinta yang berpayung di bawah petunjuk Allah dan Rasul membawa manusia ke arah keredhaanNya. Sebaliknya, cinta yang bertuhankan hawa nafsu mengundang mala petaka dan kemurkaanNya.

Bibliografi


Abdul Aziz Ismail, 1995, Membina Minda dan Peribadi Muslim, Kuala Lumpur, Al
            Hidayah Publishers
Al-Quran: Tafsir Pimpinan al-Rahman, 1995, Kuala Lumpur, Jabatan Perdana Menteri
Asmah Bee Mohd Noor dan Iran Herman, 1995, Membina Kesejahteraan Remaja,
             Selangor, Teknoedar
Farid Al- Din Attar, 1994, Kisah Para Wali Episod  Dari Tazkirat al-Auliya, Selangor,
            Thinker’s Library
Habsah Md. Nor, Isteri Teladan Igauan seorang Suami, 1998, Ed.4, Kuala Lumpur, Penerbit Darul Nu’man.
Hairunnaja Najmuddin, 2003, Psikologi Ketenangan Hati, PTS Publications and
             Distributors Sdn. Bhd.
HM Tuah Iskandar (Dr.), 2003, Membina Hati Bahagia, Selangor, Karya Bistari
             Sdn.Bhd.
Kamal Abd. Manaf, 1996, Manusia Dan Personaliti Membentuk Insan Yang sempurna,
             Kuala Lumpur,  Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Mohd. Fadzilah Kamsah (Dato’ Dr.) dan Abdullah Hassan (Dr.), 2004, Menjalin
             Hubungan Bahagia, Pahang, PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Ahmad al-Rasyid, 1987, Pelembut Hati, Jakarta, Robbani Press
Noraini Ahmad, 1994, Kaunseling Remaja Pengalaman Peribadi Seorang Kaunselor,
            Selangor, Budaya Ilmu Sdn. Bhd.


[1] Kertas Kerja ini dibentangkan sempena Seminar Kebangsaan Ke-3 Psikologi dan Masyarakat 2004, Bertema: “Gejala Sosial Dalam Masyarakat”, pada 4 &5 Oktober 2004 di Pusat Latihan KWSP (ESSET) Bangi, Selangor D.E anjuran Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, UKM dan Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA).
[2]Kamus Dewan,  Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2000, hlm.241
[3] Noraini Ahmad, 1994, Kaunseling Remaja Pengalaman Peribadi Seorang Kaunselor, Selangor Darul Ehsan, Budaya Ilmu  SDN.BHD., hlm. 64
[4] HM Tuah Iskandar al-Haj (Dr.), Membina Hati Bahagia, Selangor Darul Ehsan, Karya Bistari SDN. BHD., hlm. 178
[5] Mohammad Zakaria. Fadhilat al-Qur’an, Era Ilmu Sdn. Bhd. Kuala Lumpur 2003, hlm.99.
[6] Surah al-Zaariyat  49:51
[7] Surah al-Taubah  9: 24
[8] Qurtubi, al-Imam Abu Abdullah Mhammad binAhmad al-Qurtubi. Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jil 4. 1993 hlm.60. Dar al-Kitab al-Ilmiyyah Lubnan.
9 Surah al-Baqarah: ayat 165

[10] Habsah Md. Nor, Isteri Teladan Igauan Seorang Suami, hlm. 73
[11] Qurtubi, al-Imam Abu Abdullah Mhammad binAhmad al-Qurtubi. Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jil 2. 1993 hlm.40. Dar al-Kitab al-Ilmiyyah Lubnan.
[11] Surah al-Isra’: ayat 24
[12] HM Tuah Iskandar (Dr.), Membina Hati Bahagia, hlm.228
[13] Ibid., hlm.156
[14] Ibid.
[15] Habsah Md. Nor, op.cit., hlm.237
[16] Surah Al-A’raaf: 179
[17] Surah al-Baqarah: ayat 168
[18] Hairunnaja Najmuddin, Psikologi Ketenangan Hati Edisi Kedua, hlm. 178

Pengalaman Belajar PhD



Assalamua’alaikum semua

Pengalaman belajar PhD ini mungkin berbeza antara sesama kita. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya yang tak seberapa. Manalah tahu sedikit sebanyak bermanfaat dan dapat dijadikan panduan.

MULA BELAJAR PhD

Selepas selesai Ijazah Sarjana Muda di UM saya terus sambung belajar peringkat Master di UIA. Selepas saja lulus Master saya mula meninjau peluang pekerjaan dan alhamdulillah mendapat tawaran sebagai pensyarah di UTM. Kiranya saya mula belajar PhD setelah bekerja sebagai pensyarah di UTM, Skudai Johor. Itupun setelah beberapa tahun. Agaknya kerana seronok dengan alam pekerjaan...maklumlah dari kecil saya bercita-cita ingin menjadi seorang pensyarah Universiti.

CABARAN SEMASA BELAJAR PhD

Saya juga menempuh pelbagai cabaran semasa belajar PhD, antaranya:

  1. Jarak Jauh-Saya tinggal di Johor Bahru dan belajar di Universiti Malaya KL. Setiap kali ingin berjumpa supervisor bermakna saya terpaksa travel ke KL. Cara saya pula, saya sentiasa bawa suami dan anak-anak saya bersama setiap kali ke KL kerana sebab-sebab tertentu terutamanya saya tidak mahu berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil.

  1. Bahasa-Kajian saya berkaitan status wanita Yahudi. Jadi mostly rujukannya ialah di dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana kajian saya ditulis dalam bahasa Melayu, saya perlu menterjemah bahan-bahan bacaan dalam bahasa Inggeris dan Arab. Boleh dikatakan ia satu tugas yang mencabar dan menuntut kesabaran juga.

  1. Kerjasama Untuk Interview – Dalam bab interview, saya tidak berjaya dalam usaha untuk mendapatkan kerjasama daripada Rabai Yahudi. Berkali-kali berusaha call dan hantar email, tak berjaya jua atas alasan mereka tidak bersedia. Akhirnya saya hanya dapat interview paderi Kristian.

STRATEGI SAYA

Susah kan nak Graduate on Time (GOT)? Strategi saya ialah:

  1. Pilih Tajuk Yang Kita Minat
Pemilihan tajuk sangat penting. Tajuk mestilah bertepatan dengan kemampuan kita. Saya pilih tajuk yang saya minat kerana bila ada minat mendalam, kita tak akan mudah lemah semangat, hilang fokus dan putus asa walau apa pun rintangan yang menghalang.

  1. Bersungguh-sungguh Dari Awal
Jujurnya saya takut-takut nak sambung PhD. Takut susah, takut ujian berat, takut tak mampu etc. Tapi bila saja saya mendaftar, saya buang segala perasaan negatif tu. Saya pastikan bulan pertama belajar dan siap bab 1 dan diikuti bulan kedua siap bab 2, dan seterusnya..bab 3,4,5 siap pada penghujung setiap semester.

  1. Komited
Saya cuba berikan komitmen yang terbaik. Hasilnya cukup tempoh 2 tahun saya sudah selesai menulis 5 bab tesis saya. Masa selebihnya saya serahkan tesis untuk supervisor beri komen dan saya buat penambahbaikan.

  1. Tidak Memanjakan Diri
Kalau saya kepenatan atau hilang mood, saya rehatkan diri saya hanya seketika saja. Kemudian saya cari semula kekuatan untuk sambung kajian. Saya biasakan diri, setiap kali saya menulis tesis, saya siapkan at least 10-15 halaman untuk memastikan target saya tercapai.  Walaupun ada anak kecil berumur 3 tahun yang selalunya turut sama berada di atas kerusi berdiri di belakang saya J

  1. Kejar Target dan Disiplinkan Diri
Saya tetapkan target dalam penulisan kajian saya bagi setiap semester. Disiplinkan diri setiap hari mesti menulis atau ada improvement berkaitan kajian. Tiada istilah ‘tersesat’ dalam masalah atau angan-angan.

  1. Cekal dan Tidak Putus Asa
Semua orang bertembung cabaran dan ujian masing-masing ketika belajar PhD. Saya juga tak terkecuali. Saya sudah mempunyai 3 orang anak ketika belajar PhD. Ketika saya mendapat berita bakal mendapat anak ke 4, langkah saya makin laju. Saya pastikan penulisan kajian saya siap sepenuhnya pada awal kehamilan lagi. Walaupun ketika ini saya diuji oleh Allah dengan masalah janin yang menekan pundi kencing sehingga saya sukar membuang air secara normal. Ketika ini doktor memutuskan saya perlu memakai tiub untuk seketika untuk mengelakkan kesakitan yang teramat sangat. Keadaan ini hanya seketika. Ia berakhir selepas usia kandungan mencapai 3 bulan.
Meskipun sakit saya terus menaip tesis walaupun sambil berdiri kerana tiub tersebut tidak membolehkan saya duduk dengan selesa. Kerana saya percaya untuk berjaya, tiada istilah putus asa.
Ujian yang lain ialah anak saya dimasukkan ke wad ketika menghampiri hari viva tesis saya. Dia hanya dibenarkan keluar dari hospital sehari sebelum hari viva-voce saya. Hati resah dan berkecamuk kan? Sabar dan redha...itulah ubatnya. Saya bertawakkal dan sandarkan semua kepada-Nya.

  1. ‘Tundukkan’ Hati dan Jangan Sesekali Sombong
Ini petua untuk memudahkan sesi Viva-voce. Bila nak masuk bilik viva, baca Bismillah..selawat banyak-banyak..baca: Lailaha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzalimin..etc. Jangan over confident dan lebihkan tawadhuk. Rendah diri yang ada dalam diri kita adalah kunci yang membuatkan kita lebih dipandang tinggi. Saya juga buat persediaan yang rapi untuk sesi viva walaupun tidak menyangka akan dipermudahkan oleh Allah Taala dengan kenangan yang begitu manis. Alhamdulillah saya lulus viva yang berlangsung dalam masa yang singkat tanpa perlu mempamirkan dan menghuraikan slide powerpoint saya. Hanya menjawab beberapa soalan yang ditanya examiners.
  

  1. Niat Belajar Kerana Allah Dengan Penuh Minat
Ini perkara asas yang paling penting sebenarnya. Perkara utama. Saya sentiasa ingatkan diri tentang niat mencari ilmu kerana Allah. Kerana itu saya sentiasa rasa berminat mendalami kajian saya. Kerana itu juga rasa putus asa tidak pernah menjengah fikiran saya. Saya percaya kerana itu juga Allah permudahkan perjalanan pengajian saya dari awal hingga akhirnya. Kerana sentiasa memperbetulkan niat Allah kurniakan saya 2 nikmat: dipermudahkan sesi viva saya malah berturutan selepasnya, saya dianugerahkan University of Malaya Excellence Award. Semua berlaku dengan izin-Nya. Alhamdulillah.

Akhirnya TAHNIAH saya ucapkan kepada semua yang sedang belajar peringkat PhD atau telah lulus PhD. Perbanyakkan ibadat dan berdoa. Kuatkan semangat. Jangan biarkan diri kalah sebelum berjuang! Anda mampu melakukannya. Insya Allah.