Jika Ingin Kekalkan Persahabatan...
Belajarlah untuk menghargai, bukan hanya dihargai
Belajarlah untuk mendengar, bukan hanya didengari
Belajarlah untuk memahami, bukan hanya mengharap difahami
Tunjukkan kasih sayang dalam tindakan, bukan sesekali dalam gurauan
Sahabat sejati ibarat permata
Namun kamu akan kehilangannya
Saat kamu sering menghadiahkan sedih hingga dia terluka
Saat dia merasa kamu telah merampas rasa 'selamat'
yang pernah kamu hulurkan untuknya
Dr. Cinderella
Tuesday, January 24, 2017
Saturday, January 30, 2016
Adab dan Kaedah Memohon Maaf
“MAAF!”- Satu Lafaz Cukup Bermakna
Firman Allah SWT. yang bermaksud:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan".
(Surah Ali-Imran: 133-134)
ADAB MEMOHON MAAF
1. Menginsafi dan Mengakui Kesalahan
Sungguh bertuah orang yang cepat tersedar bila tersilap. Ternyata Allah menyayanginya kerana tidak membiarkan dia berada lama-lama di dalam dosa. Hadirnya rasa bersalah dalam diri bila melakukan kesilapan atau dosa merupakan satu petanda adanya iman dalam diri seseorang.
2. Beristighfar dan Solat Taubat
Iltizamkan diri dengan istighfar setiap hari seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Bila buat kesilapan, cepat-cepat beristighfar tanda tidak ingin lagi meneruskan dosa itu. Seterusnya, perbanyakkan Solat Taubat mohon keampunan Allah di atas keterlanjuran. Solat Taubat selain mengembalikan kita kepada maghfirah Allah, ia juga memberi ketenangan jiwa serta mempermudahkan segala urusan hidup.
3. Bertemu Muka dan Bersalaman
Bertemu muka, bersalaman (mengikut batas syarak) dan memandang wajah orang berkenaan ketika meminta maaf juga menunjukkan kerendahan hati dan kesungguhan untuk melakukannya. Namun jika ada halangan untuk bertemu, permohonan maaf tetap perlu dilakukan dengan kaedah-kaedah lain mengikut kemampuan seperti melalui panggilan telefon etc.
4. Memohon Maaf Secara Umum atau Menyebut Kesalahan Secara Spesifik
Ada 2 pendapat berkaitan perkara ini;
Pertama, ada ulamak yang berpendapat meminta maaf secara umum adalah memadai tanpa menyebut jenis kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai jika bertemu di majlis keramaian, hari raya dan sebagainya.
Kedua, ada pendapat ulamak yang mengatakan lebih baik memohon maaf dengan menyebut secara spesifik jenis kesalahan yang dilakukan. Kaedah ini sesuai jika kedua pihak bertemu di tempat yang ada privacy supaya tidak tersebar sebarang keaiban.
5. Hindari Menyalahkan Orang Lain
Sesetengah orang mungkin terasa malu dan sangat berat hati untuk meminta maaf. Jadi dia turut mengaitkan kesalahan orang lain ketika meminta maaf. Menyebut dan menyeret kesalahan orang lain dan menyamakannya dengan kesilapan diri sendiri sepatutnya dijauhi. Juga tidak perlu memberi 'tazkirah' terlebih dahulu sebelum meminta maaf, kerana ditakuti perbuatan seperti itu boleh melukakan hati dan menyukarkan proses permohonan maaf. Cukuplah sekadar meminta maaf bagi diri sendiri kerana sedar telah melakukan kesalahan. Buang rasa malu dan berat hati. Fokus kepada niat yang betul, memohon maaf kerana Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.
6. Ikhlaskan Diri
Mohonlah kemaafan dengan sepenuh hati tanpa paksaan sesiapa dan tanpa tujuan-tujuan tersembunyi. Jika telah meminta maaf dengan ikhlas, sama ada dimaafkan atau tidak, urusan dengannya telah selesai. Teruskan memohon keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui.
Jadilah insan yang MUDAH. Mudah meminta maaf dan mudah memberi maaf
Firman Allah SWT. yang bermaksud:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan".
(Surah Ali-Imran: 133-134)
ADAB MEMOHON MAAF
1. Menginsafi dan Mengakui Kesalahan
Sungguh bertuah orang yang cepat tersedar bila tersilap. Ternyata Allah menyayanginya kerana tidak membiarkan dia berada lama-lama di dalam dosa. Hadirnya rasa bersalah dalam diri bila melakukan kesilapan atau dosa merupakan satu petanda adanya iman dalam diri seseorang.
2. Beristighfar dan Solat Taubat
Iltizamkan diri dengan istighfar setiap hari seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Bila buat kesilapan, cepat-cepat beristighfar tanda tidak ingin lagi meneruskan dosa itu. Seterusnya, perbanyakkan Solat Taubat mohon keampunan Allah di atas keterlanjuran. Solat Taubat selain mengembalikan kita kepada maghfirah Allah, ia juga memberi ketenangan jiwa serta mempermudahkan segala urusan hidup.
3. Bertemu Muka dan Bersalaman
Bertemu muka, bersalaman (mengikut batas syarak) dan memandang wajah orang berkenaan ketika meminta maaf juga menunjukkan kerendahan hati dan kesungguhan untuk melakukannya. Namun jika ada halangan untuk bertemu, permohonan maaf tetap perlu dilakukan dengan kaedah-kaedah lain mengikut kemampuan seperti melalui panggilan telefon etc.
4. Memohon Maaf Secara Umum atau Menyebut Kesalahan Secara Spesifik
Ada 2 pendapat berkaitan perkara ini;
Pertama, ada ulamak yang berpendapat meminta maaf secara umum adalah memadai tanpa menyebut jenis kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai jika bertemu di majlis keramaian, hari raya dan sebagainya.
Kedua, ada pendapat ulamak yang mengatakan lebih baik memohon maaf dengan menyebut secara spesifik jenis kesalahan yang dilakukan. Kaedah ini sesuai jika kedua pihak bertemu di tempat yang ada privacy supaya tidak tersebar sebarang keaiban.
5. Hindari Menyalahkan Orang Lain
Sesetengah orang mungkin terasa malu dan sangat berat hati untuk meminta maaf. Jadi dia turut mengaitkan kesalahan orang lain ketika meminta maaf. Menyebut dan menyeret kesalahan orang lain dan menyamakannya dengan kesilapan diri sendiri sepatutnya dijauhi. Juga tidak perlu memberi 'tazkirah' terlebih dahulu sebelum meminta maaf, kerana ditakuti perbuatan seperti itu boleh melukakan hati dan menyukarkan proses permohonan maaf. Cukuplah sekadar meminta maaf bagi diri sendiri kerana sedar telah melakukan kesalahan. Buang rasa malu dan berat hati. Fokus kepada niat yang betul, memohon maaf kerana Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.
6. Ikhlaskan Diri
Mohonlah kemaafan dengan sepenuh hati tanpa paksaan sesiapa dan tanpa tujuan-tujuan tersembunyi. Jika telah meminta maaf dengan ikhlas, sama ada dimaafkan atau tidak, urusan dengannya telah selesai. Teruskan memohon keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui.
Jadilah insan yang MUDAH. Mudah meminta maaf dan mudah memberi maaf
Saturday, January 9, 2016
Pengurusan Cinta Menurut Perspektif Islam
MEMAHAMI DAN
MENGHAYATI PENGURUSAN CINTA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM MERUPAKAN SALAH SATU
ALTERNATIF MENANGANI GELAJA SOSIAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT[1]
Mohd Ismail bin Mustari,
Bushrah bt. Basiron,
Nurazmallail bin Marni
Abstrak
Cinta merupakan fitrah dan
anugerah Ilahi yang amat istimewa dalam kehidupan seseorang insan. Ramai di
kalangan masyarakat khususnya remaja dan belia yang fana’ diulit perasaan cinta
sehingga terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral. Bila perasaan cinta
membara dan subur tanpa mempunyai kefahaman dan penghayatan yang betul
seseorang itu akan kecundang dan tersungkur sehingga hilang hala tuju
kehidupan. Gejala sosial yang terpapar di dada akhbar dan media elektronik
saban hari kebanyakannya berpunca dari salah faham dan kegagalan menguruskan
cinta dengan sempurna. Kertas kerja ini cuba mengemukakan pandangan terhadap
pemahaman dan penghayatan cinta yang sebenar dari perspektif Islam. Bagaimana
seseorang insan menguruskan perasaan cinta yang lahir dalam kehidupan mereka.
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil apabila timbulnya perasaan cinta
dalam kehidupan seseorang. Hanya dengan kefahaman dan pengurusan cinta yang
betul akan menjadi salah satu alternatif dalam menangani gejala social yang
berpunca dari cinta.
1.0 Pendahuluan
Manusia merupakan makhluk yang dicipta dengan
sebaik-baik kejadian dan kesempurnaan. Memiliki perasaan cinta adalah satu
fitrah dalam kehidupan manusia. Cinta menjadi indah dan bermakna jika
disandarkan kepada Tuhan dan tidak dicemari dengan tindakan dan tingkah laku
yang melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam. Secara umumnya,
masyarakat belum dapat mempraktikkan pengurusan cinta yang tepat dan kerapkali
terjebak dalam gejala sosial yang dahsyat seperti perzinaan, kehamilan luar
nikah, pengguguran bayi, tergadainya
harta, usia dan sebagainya. Gejala sosial yang meruntuhkan akhlak dan moral ini
ternyata begitu membimbangkan semua pihak terutamanya ibu bapa dan keluarga.
Antara faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala tersebut ialah pemahaman
yang cetek tentang ajaran agama dan pengurusan cinta yang betul, pendidikan
keluarga, pengaruh rakan sebaya, peranan media cetak dan elektronik, kegagalan
mengawal emosi dan sebagainya.
2.0 Definisi Cinta
Menurut Kamus Dewan, cinta bermaksud perasaan atau
berperasaan sangat berahi, asyik, kasih dan sayang antara lelaki dan perempuan.
Cinta juga bermaksud sangat sayang kepada negara, orang tua, kebebasan dan
lain-lain.[2] Definisi cinta bergantung kepada penghayatan
seseorang individu. Cinta bukanlah kata murah atau lumrah dituturkan dari mulut
ke mulut. Cinta merupakan anugerah Tuhan yang paling agung dan paling murni
jika manusia dapat menilai kesuciannya. Cinta yang sihat dan utuh adalah
berdasarkan kasih sayang yang sentiasa dikawal oleh akal fikiran yang waras.[3]
Cinta juga diertikan sebagai suatu perasaan yang sukar digambarkan
melalui kata-kata. Ia hanya dapat dirasai dengan mengalaminya sendiri. Uniknya
cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung dan merupakan motivasi
terbaik manusia.[4]
Al-Ashmu’i
pernah bertanya kepada seorang A’rabi tentang “al-Isyq”(keterpikatan). Ia
berkata: “Demi Allah, sesungguhnya sebuah cinta teramat agung untuk dapat
dilihat. Ia luput dari penglihatan manusia, ia ada di dalam dada bersemayam
sebagaimana api bersemayam dalam batu. Jika dinodai ia akan membakar, dan jika
dicuba untuk ditinggalkan ia akan selalu membayangi”. Selain itu, Imam Ibnu
Qayyim menyatakan bahawa percintaan
tidak secara keseluruhannya terpuji dan tidak pula tercela keseluruhannya. Akan
tetapi terpuji dan tercela secara keseluruhannya bergantung kepada
konteksnya. Imam Ibnu al-Jauzi pula
menjelaskan bahawa kecintaan, kasih sayang dan ketarikan terhadap sesuatu
tidaklah merupakan hal yang tercela. Tetapi cinta yang melewati batas sehingga
menguasai akal dan mendorong kepada maksiat itulah cinta yang terlarang.
Seorang
pujangga Arab bermadah,
إنَّ المُحِبَّ لِمَنْ
يُحِبُّ مُطِيْعٌ
‘Sesungguhnya
seseorang kekasih menyerah kepada orang yang dikasihinya’
Adalah menjadi tabiat dan sifat semula jadi seseorang
itu apabila telah jatuh cinta kepada seseorang, maka dia akan menyerah dan
mematuhi kekasihnya. Ketidak patuhan kepada kepada yang dikasihi adaah begitu
berat baginya sebagaimana ia tidak mahu mematuhi kepada orang yang tidak
dicintainya[5].
3.0
Cinta Sebenar Dari
Perspektif Islam
Menurut perspektif Islam, cinta yang sebenar dan
teragung adalah cinta kepada Pencipta, diikuti dengan cinta kepada RasulNya,
Nabi Muhammad s.aw. dan ibu bapa. Ini
berbeza dengan konsep cinta yang difahami oleh masyarakat terutamanya remaja
bahawa cinta hanya terbatas terhadap semasa manusia khususnya hubungan yang
terjalin antara lelaki dan wanita. Cinta dalam Islam memfokuskan perasaan cinta
terhadap Allah s.w.t. yang menjadi asas dalam menguruskan cinta yang lahir
sesama manusia. Cinta dari perspektif Islam adalah suci dari elemen-elemen
negatif yang dipengaruhi oleh nafsu seperti keinginan berdua-duaan, berpegangan
tangan dan pelbagai jenis kemaksiatan yang lahir dari perasaan cinta yang tidak
terkawal dengan ruh Islam.
Lumrahnya,
manusia lupa untuk mendekatkan diri kepada Tuhan apabila perasaan dipenuhi cinta terhadap pasangan
masing-masing. Malah yang diingati dan diutamakan hanyalah keseronokan,
kebahagiaan dan kenikmatan yang sukar digambarkan dengan perkataan. Keadaan
inilah yang mencorakkan satu fenomena kelalaian dan kealpaan manusia terhadap
tanggungjawabnya terhadap Maha Pencipta termasuk tanggungjawabnya menjaga,
menangani dan menguruskan perasaan cinta agar selari dengan kehendak Islam.
Jika manusia meletakkan Allah s.w.t di tempat yang paling utama di hati dan
mendahulukan kepatuhan terhadapNya, mereka akan mudah mendepani dan menangani
segala perasaan dan cabaran yang mendatang. Allah s.w.t. berfirman:[6]
وَمِنْ كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا
زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونْ. الذاريات 51:49
“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya
kamumengingati kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami”.
Menangani masalah cinta juga tidak lari
dari ruang lingkup ibadah dalam Islam. Mencintai sesama manusia kerana Allah
s.w.t. merupakan satu ibadah selagi perasaan tersebut terpelihara dari
perbuatan maksiat dan tingkah laku yang keji dan tercela. Malah jika diuji
dengan perasaan cinta, balasan yang baik diberikan kepada orang yang bersabar
menghadapainya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن
عِظََمَِ الجَزَاءُ مَعَ عِظََمِِ البَلاَءِ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَى وَمَنْ
سَخِطََ فَلَهُ السُّخْطُ
“Sesungguhnya besarnya sebuah
balasan adalah sesuai dengan beratnya ujian, maka barangsiapa redha, dia akan
memperoleh keredhaan dan barang siapa yang marah maka dia akan beroleh
kemarahan”.
Sabda Rasulullah juga bersabda :
عن
أبو سعيد بن سيدمن من مشهر من أبو يحي القوتاب من مجاهد من بن عباس رضى الله عنه : مَنْ
عَشَقَ وَكَتَمَ وَعَفَّ وَصَبَرَ، غَفَرَ اللهُ لَهُ وَأَدْخَلَهُ الجْنَةَّ.
“ Barangsiapa yang jatuh
cinta kemudian dia mampu menyembunyikannya, menjaganya dan bersabar, maka Allah
akan mengampuni orang tersebut dan memasukkannya ke dalam syurga”.
Allah s.w.t. telah
mengingatkan manusia agar tidak mengutamakan cinta kepada keduniaan dan
kebendaan melebihi cinta kepada Allah dan RasulNya kerana mereka akan menerima
azab seksa dan tidak akan diberi petunjuk. Antara peraturan cinta yang ditetapkan oleh Allah ialah
seperti yang disebutkan di dalam firmanNya:[7]
قُلْ إِنْ كَانّ ءَابَآؤُكُمْ وَأبْنَآؤُكُمْ
وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌُ اقْتَرَفْتُمُوْهَا
وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنَ تَرْضَوْنَهآ أَحَبَّ إِلَيْكُمْ
مِنَ اللهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهِ فَتََرَبَّصُواْ حَتَّى يَأتِىَ
اللهُ بِأَمْرِهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الْفَاسِقِيْنَ.
“Katakanlah Wahai Muhammad: “Jika bapa-bapa
kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri
(suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan,
dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal
yang kamu sukai, jika semua itu menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih
dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad untuk agamanya, maka tunggulah
sehingga Allah Mendatangkan keputusannya (azab seksanya), kerana Allah tidak
akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”.
Menurut al-Qurtubi didalam tafsirnya, ‘ayat
ini menjadi dalil wajib cinta kepada Allah dan Rasul-Nya dan cinta ke atas
keduanya hendaklah mengatasi cinta kepada yang lain. Selepas daripada kecintaan
ini barulah cinta kepada jihad di jalan Allah[8].
Oleh itu,
cinta menurut perspektif Islam mestilah berpandukan ajaran al-Quran dan Sunnah
Rasul s.a.w. agar tidak menyimpang ke jalan kesesatan yang menjanjikan dosa dan
balasan azab siksa di akhirat kelak. Cinta terhadap pencipta yang diurus dengan
sempurna dan terancang akan melahirkan cinta-cinta lain yang subur di dalam
jiwa seseorang untuk memperkasakan ketaqwaan dan keimanan.
4.0 Pengurusan Cinta Menurut Perspektif Islam
Memahami dan menghayati pengurusan cinta dari
prespektif Islam boleh menjadi penawar kepada setiap insan yang sedang dilanda
dengan permasalahan cinta. Cinta sebenarnya bagai gedung motivasi yang terlalu
luas perbincangannya. Tanpa pengurusan yang terancang sumber yang menjadi
motivasi ini boleh bertukar kepada virus negatif dan boleh membawa seseorang
lebih hina daripada haiwan. Pengurusan cinta menurut perspektif Islam
boleh diklasifikasikan kepada beberapa
peringkat cinta mengikut keutamaannya mencakupi cinta kepada Allah sebagai
Pencipta, cinta kepada Rasul, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada negara dan
cinta sesama manusia. Kefaham yang betul dan sempurna amat penting bagai
memastikan setiap insane tidak terpesong untuk menjadi hamba cinta yang berteraskan
nafsu dan syaitan.
4.1
Cinta Kepada Allah
Islam
meletakkan cinta yang terulung dan tertinggi dalam kehidupan manusia adalah
cinta kepada Allah s.w.t. Ketinggian nilai taqarrub al-Abid (hamba) kepada
al-Khaliq (Pencipta) dizahirkan melalui cinta murni kepada Pencipta. Makna
cinta dalam Islam terlalu besar pengertiannya. Oleh kerana itu, konsep cinta
dan kasih sayang kepada Allah s.w.t. dikenali sebagai “halawatul
iman”(kemanisan iman) atau nikmat yang sebenar. Memiliki cinta Allah seharusnya
menjadi impian dan kebanggaan kerana memilikinya bukanlah sesuatu yang mudah
kecuali dengan pengabdian yang ikhlas terhadapNya. Cinta kepada Allah merupakan
anugerah tertinggi yang tiada tandingannya malah untuk memilikinya manusia
terpaksa melalui pelbagai cabaran yang menuntut pengorbanan yang sangat tinggi.
Firman Allah s.w.t.:[9]
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُوْنِ اللهِ
أنْدَادًا يُحِبُّوْنَهُمْ كحب الله والذين ءامنوا أشد حبا لله ولو يرى الذين
ظلموا إذ يرون العذاب أن القوة لله جميعا وأن الله شديد العذاب
“)Walaupun demikian), ada juga antara manusia yang
mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka
mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah,
sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”
Cinta terhadap Allah bukanlah kerana kerana
nafsu tetapi kerana unsur kepercayaan dan
keyakinan yang mantap terhadap Tuhan yang Esa. Cinta ini lahir
disebabkan dorongan ketaqwaan terhadap Allah s.w.t yang sebut sebagai cinta
rohaniah.[10] Sesungguhnya cinta terhadap Allah boleh dibuktikan
melalui kepatuhan terhadap al-Quran, suruhan dan laranganNya. Dalam konteks
percintaan ini, menjadi kewajipan manusia meletakkan kecintaan dan keimanan
terhadap Allah mendahului segala keinginan duniawi.
Al-Qurtubi menegaskan, cinta Allah kepada
hambanya dengan memberikan keampunan. Menurut Sahl bin Abdullah di dalam kitab
al-Qurtubi, Tanda cinta kepada Allah kita cinta al-Qur’an, tanda kita cinta
kepada al-Qur’an, cinta kepada Nabi, dan tanda cinta kepada Nabi, cinta kepada
sunnahnya. Tanda cinta kepada Allah, al-Qur’an, Nabi dan sunnahnya adalah cinta
kepada akhirat.
4.2
Cinta
Kepada Rasul
Rasul adalah utusan Allah untuk menjadi pembimbing
manusia menuju keredhaanNya. Rasulullah s.a.w, sebagai Rasul yang terakhir
telah menempuhi pelbagai onak duri, tentangan dan cacian semata-mata ingin
menegakkan syiar Islam di muka bumi. Selayaknya, Baginda dicintai oleh seluruh
umatnya biarpun Rasulullah s.aw. telah tiada. Umat Islam patut menjadikan para
Sahabat r.a. yang sanggup bergadai nyawa dengan menjadikan tubuh mereka sebagai
perisai demi mempertahankan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh untuk diteladani.
Biarpun faktor masa telah memisahkan Rasulullah dengan umatnya namun kecintaan
terhadap Baginda dapat dibuktikan dengan
kesungguhan untuk mematuhi sunnahnya. Menjulang dan membawa panji sunnah
Baginda dengan cara mengamalkannya dalam kehidupan sehari. Cinta ke[pada sunnah
Nabi ini akan membawa kesempurnaan kepada cinta kepada Allah S.W.T.
4.3
Cinta
Kepada Ibu bapa
Cinta kepada kedua ibu bapa boleh diertikan sebagai
“birrul waalidain” atau berbuat baik kepada ibu bapa. Konsep berbuat baik ini
tidak hanya menfokuskan kepada perbuatan-perbuatan baik sahaja, malah
merangkumi rasa cinta, kasih dan sayang
yang amat mendalam terhadap mereka. Malah mengatakan perkataan “uh” kepada
keduanya dianggap dosa besar dalam Islam. Keindahan Islam terserlah dengan
mengajar penganutnya menghormati dan mencintai ibu bapa yang telah bersusah
payah menjaga mendidik anak-anak tanpa mengenal jemu. Allah s.w.t. berfirman:[11]
“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka
dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil”.
4.4
Cinta Kepada Negara
Istilah “jihad” amat berkaitan dengan kecintaan
manusia kepada negara. Rasulullah s.a.w. menyentuh persoalan kasih dan cinta
kepada negara sebagai “hubbul watan minal iman” atau cinta dan kasih kepada
negara sebagai sebahagian dari tuntutan iman. Selain persoalan akidah dan iman,
semangat cintakan negara dan mempertahankannya dari musuh-musuh Islam telah
menjadi antara agenda utama yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. Umat
Islam mestilah peka dengan tindak tanduk musuh-musuh Islam yang sentiasa
mencari peluang memusnahkan umat Islam secara langsung atau tidak langsung.
4.5
Cinta Sesama Manusia
Cinta adalah fitrah yang wujud bersama kewujudan
manusia di dunia ini. Secara dasarnya, Islam tidak melarang penganutnya
mengasihi antara satu sama lain malah amat menggalakkannya seperti hubungan
kasih sayang yang pernah terjalin antara kaum Muhajirin dan Ansar dan kasih
sayang sesama jiran tetangga. Bagaimana pun, manusia kini lebih menumpukan
kepada hubungan cinta yang terjadi di semua peringkat umur sama ada remaja,
dewasa dan orang tua.
Antara cinta yang mulia dan digalakkan
dalam Islam ialah cinta suami isteri. Dalam hubungan suami isteri, kita harus mencintai
pasangan kita seadanya. Kenyataannya kita tidak akan bertemu manusia yang
sempurna, pasti ada kekurangannya jika tidak pada tubuh badan mungkin pada hati
dan sikapnya.[12]Setelah keputusan dibuat dan merasmikannya melalui
ijab dan kabul,
suami dan isteri tidak patut lagi berpatah balik. Kasih, sayang dan cinta mesti
dipupuk dan dibaja untuk mencapai kecemerlangan dalam rumahtangga. Pada ketika
ini tumpuan mestilah diberi untuk membina keluarga bahagia apatah lagi dengan
kehadiran anak-anak yang amat memerlukan perhatian, kasih sayang dan kehadiran
ibu bapa. Berpaling mencintai wanita dan lelaki lain menjadi antara penyebab
kehancuran rumahtangga dan kesan tidak hanya dirasai oleh pasangan suami isteri
malah anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Di zaman moden ini,
menyintai suami atau isteri orang adalah perkara biasa biarpun ia dianggap
episod yang terkeluar sama sekali dari peradaban manusia beragama.[13]
Bagi golongan remaja, mereka mesti
memastikan bahawa cinta yang hadir tidak melalaikan mereka dari mentaati Allah,
Rasul dan ibu bapa dan tidak meletakkan mereka dalam golongan orang-orang yang
dimurkai Allah. Hakikatnya cinta yang bertunjangkan hawa nafsu dan syahwat hanyalah
cinta palsu yang penuh kehinaan kerana mendorong pemiliknya melakukan
kemungkaran dan kemaksiatan. Selain remaja, golongan dewasa dan tua juga tidak
terlepas dari panahan cinta. Malangnya ada yang berkeluarga dan mempunyai suami
dan isteri masing-masing tetapi bercinta bagaikan pasangan remaja. Semua yang
ditempuhi dalam hidup mempunyai tempoh hayatnya. Bagi golongan ini episod dunia
remaja sudah berakhir. Bagi yang berkeluarga, tumpuan ialah terhadap
kecemerlangan keluarga bukannya percintaan terlarang. Percintaan antara orang tua juga
amat memalukan dan mudah terbabas malah jika berlaku mungkin mengatasi cinta
dan perlakuan orang muda.[14]
Jelasnya cinta sesama manusia
perlulah dibina dengan akhlak yang terpimpin dengan ruh agama antaranya:
i)
Perasaan cinta kepada manusia perlulah dibina atas dasar cinta kepada
Allah
ii)
Jadikan cinta kepada manusia sebagai satu wadah untuk mendapatkan
keredhaanNya
iii)
Sentiasa mendahulukan kehendak Allah dan Rasul sebelum memenuhi
kehendak manusia yang dikasihi
iv)
Sentiasa mengutamakan ibadah kepada Allah seperti berzikir dan
bermunajat tanpa terleka dengan nikmat cinta sesama manusia
4.6 Cinta
Kepada Makhluk
Cinta kepada makhluk yang dimaksudkan di sini adalah
cinta kepada seluruh makhluk Allah di atas nuka bumi ini selain daripada
manusia. Ini kerana cinta kepada sesama manusia telah diterangkan secara khusu
di atas. Cinta kepada makhluk Allah ini termasuklah cinta kepada binatang
peliharaan, rumah yang menjadi tempat kediaman, pokok-pokok yang ditanam,
kenderaan, pakaian, barang perhiasan, keindahan alam seperti laut, sungai,
bintang, bulan, matahari, pemandangan alam, awan, langit dan sebagainya.
Segala
bentuk kecintaan kita kepada makhluk ini perlu dipastikan ia tidak mengatasi
cinta dan ketaatan kita terhadap perintah Allah S.W.T., rasul s.a.w., jihad dan
kecintaan yang dituntut dalam kehidupan kita seperti cinta kepada kedua ibu
bapa, isteri, kaum keluarga, sahabat, anak-anak, ilmu dan perkara-perkara yang
lebih utama daripada kecintaan terhadap makhluk lain secara umum.
5.0
Contoh Kecelaruan Cinta Yang Berlaku Dalam Masyarakat
Jika diperkatakan tentang kecelaruan cinta,
terlalu banyak kes yang berlaku sama ada didedahkan atau disembunyikan. Yang pasti, kes-kes yang
berlaku begitu memalukan dan menjijikkan. Kes-kes yang dipaparkan disini
merupakan kes benar yang berlaku dalam masyarakat kita:
Kes 1:
X merupakan pelajar tahun dua di sebuah pusat
pengajian tinggi dan amat cemerlang dalam pengajian. X telah berkenalan dengan
lelaki sebaya yang hanya pekerja kilang. Cinta yang tidak terkawal menyebabkan
mereka mudah tewas melawan nafsu. Pertemuan pada cuti pertengahan semester
menjadi titik tolak keterlanjuran hubungan mereka. Apa yang menyedihkan
perbuatan ini berlaku dirumah abang si lelaki setiap hari. Abang dan kakak ipar
tidak membantah malah mengizinkan bilik mereka diguna oleh pasangan tersebut
untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Akibatnya, selepas kembali ke kampus,
X disahkan hamil dan terpaksa menangguhkan pengajian. Lelaki yang dicintainya
pula enggan berkahwin atas faktor umur yang masih muda dan menggesa X
menggugurkan kandungannya.
Kes 2:
A seorang yang berpengaruh disebuah kampung telah
ditangkap bersama pasangannya di kebun getah takkala hari menjelang subuh.
Pasangannya adalah isteri orang yang mempunyai anak remaja. A juga dalam
situasi yang sama. Keduanya ditangkap dalam keadaan yang amat memalukan.
T seorang gadis berusia 14 tahun dan sedang
menuntut ditingkatan 2. Berulang alik
dari rumahnya ke sekolah dengan menaiki bas. Pak Cik K seorang pemandu bas yang
baik hati dalam lingkungan awal 40an. Setiap hari dalam perjalanan pergi dan
balik dari sekolah T akan mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan Pakcik
K. Hari berganti hari perbualan biasa menjadi perkongsian hati. Pak Cik K
sering memberikan pujian kepada Y dari aspek kekemasan pakaian, rambut,
senyuman, susuk tubuh, suara dan sebagainya. Akhirnya Y jatuh hati kepada Pak
Cik K. Hubungan yang begitu intim membawa Y lupakan maksud pergi ke sekolah.
Apa yang difikirkannya adalah pujian dan setuhan fizikal dari Pak Cik K. Y mula
pandai ponteng sekolah dan bersiar dengan Pak Cik K. Akhirnya Y terjebak dengan
keterlanjuran kerana ingin membuktikan cinta yang setia. Y menjadi ketagih seks
dan beliau semakin kerap ponteng sekolah dan berdua-duaan di rumah Pak Cik K
kerana isteri dan anak-anaknya tiada di rumah di waktu pagi. Akhirnya perbuatan
yang terkutuk itu dihidu oleh isteri Pak Cik K dan pihak sekolah hasil lapuran
pelajar-pelajar yang lain. Isteri Pak Cik K minta diceraikan dan Y berkahwin
dengan Pak Cik Kl dalam usia yang terlalu muda kerana sudah terlanjur.
Kes 4:
H merupakan seorang siswi di IPTA. Berasal dari
sebuah kampung pendalaman. H raskan kehidupannya kosong kerana tiada teman lelaki di
sisi. Rakan-rakan
H yang lain kebanyakkannya mempunyai teman istimewa dan mereka sering
mengadakan pertemuan dengan pasangan masing-masing. H rasakan alam percintaan
terlalu menarik lebih-lebih lagi bila melihat filem-filem yang ditayangkan di
kaca TV. Akhirnya H bertekad untuk bersiar-siar di pusat membeli belah secara
berseorangan untuk mencari teman lelaki. Keinginan H tertunai. H berkenalan
dengan seorang lelaki bernama Z. H terlalu mudah menyerahkan perasaan
sepenuhnya kepada Z walaupun baru berkenalan. Z merupakan seorang pekerja
kilang yang berkelulusan PMR. Z sering meminjam duit H dengan jumlah yang
banyak. Terkadang RM500, RM1000 dan RM3000. Bila H mengatakan tiada wang, Z
akan berhelah, ‘memang H tidak sayangkan Z’, ‘tak kesian dengan Z’ dan pelbagai
kata-kata lagi. Akhirnya H mula berhutang dengan rakan-rakan sekuliah. H bukan
sahaja menyerahkan duitnya kepada Z tetapi lebih jauh daripada itu tubuhnya
juga diserahkan bersama sebagai lambang kesetiaan kepada Z. Akhirnya setelah
segala keinginan Z tercapai, Z meninggalkan H keseorangan. Duit hilang tubuh
tergadai dan hutang dikeliling pinggag serta pelajaran terabai.
6.0
Langkah-langkah Yang Perlu Diambil
Apabila Perasaan Cinta Lahir Di Jiwa
6.1
Pendidikan
Islam menitikberatkan ilmu dan pendidikan dalam
kehidupan manusia. Pendidikan yang sempurna yang diasaskan dengan pengetahuan
agama yang mendalam dapat membantu individu yang terperangkap dalam permasalahan
cinta. Selain dari guru-guru yang memberikan pendidikan formal di sekolah, ibu
bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memberi didikan dan bimbingan
kepada anak-anak seperti yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. malah mereka dicela
jika gagal berbuat demikian. Ini kerana anak-anak yang tidak mempunyai ilmu
pengetahuan tidak mempunyai pedoman dalam melakukan apa jua pekerjaan dan
tindakan dalam kehidupan.[15] Allah s.w.t berfirman:[16]
“Dan sesungguhnya Kami jadikan
untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati
tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka
mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda
kebesaran Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya
untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan
mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.
Dalam soal cinta, keimanan dan
ketaqwaan amat penting dan ia tidak datang begitu saja tetapi perlu dilengkapi
dengan pengetahuan dan bimbingan-bimbingan agama. Dalam hal ini, ibu bapa perlu
mengasuh anak-anak menjadi orang yang bertaqwa sejak mereka masih kecil lagi.
Pengetahuan agama yang cukup akan menjadi bekalan dan asas untuk mereka
menguruskan cinta mengikut syariat Islam dan tidak mudah terjebak dalam kancah
kemaksiatan. Selain pendidikan keluarga yang diterajui oleh ibu bapa di rumah,
pendidikan kaunseling juga amat perlu khususnya untuk individu yang menghadapi
masalah dalam percintaan seperti cinta terhalang, hamil luar nikah,
ditinggalkan pasangan dan pelbagai keterlanjuran lain akibat kegagalan
menguruskan cinta dan emosi dengan sempurna. Peranan pendidikan kaunseling ini
penting bagi memastikan individu yang terlibat tidak hilang punca dan arah tuju
selepas melakukan kesilapan dalam hidup.
6.2
Pemakanan
Untuk memastikan diri sentiasa dilindungi, dirahmati
dan dijauhi dari melakukan maksiat, menjaga pemakanan adalah salah satu aspek
yang amat penting. Setiap individu muslim wajib memastikan setiap makanan yang
dimakan diperolehi dari sumber yang halal dan diredhai Allah. Ini kerana setiap
yang masuk ke tubuh manusia akan menjadi darah daging yang pastinya
mempengaruhi sikap, fikiran dan setiap tindakan yang dilakukan. Firman Allah
s.w.t.:[17]
“Hai sekalian manusia,
makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan
janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan
itu adalah musuh yang nyata bagimu”.
6.3
Pergaulan
Dalam Islam, pergaulan antara satu sama lain amat
digalakkan namun mempunyai batas-batas dan peraturan yang ditetapkan mengikut
syariat Islam. Pergaulan antara anak dan ibu bapa, adik beradik, saudara mara
, golongan mahram dan bukan mahram,
semuanya tidak terlepas dari garis panduan dan kawalan agama. Ini adalah untuk
menjamin keselamatan, keturunan, kehormatan diri dan sebagainya. Dalam konteks
percintaan, setiap individu perlu memastikan pergaulan mereka bersama pasangan
tidak melanggar batas-batas syariat yang ditentukan oleh agama. Pertemuan,
perbualan, tingkah laku yang lahir dari perasaan cinta yang tidak terkawal dan
dipengaruhi nafsu amat dicela kerana akan membawa kecelakaan dan kehancuran
dalam hidup pelakunya. Dalam hal ini, ibu bapa sebagai orang yang paling hampir
kepada anak-anak khususnya remaja perlu berperanan menjelaskan tentang adab
sopan dan batas-batas yang perlu diikuti dalam pergaulan. Pergaulan mereka
memerlukan pemantauan yang berterusan dari ibu bapa pada setiap masa. Sikap ibu
bapa dan anggota keluarga yang tidak mengambil berat dan “lepas tangan”
terhadap pergaulan remaja telah terbukti meninggalkan kesan negatif yang boleh
memalukan semua pihak.
6.4
Aktiviti Yang Positif
Antara langkah yang boleh diambil bagi mengawal
perasaan cinta yang membara sesama manusia ialah dengan memenuhi masa yang
terluang dengan aktiviti-aktiviti yang positif seperti beriadah, bersukan,
mengikuti kuliah-kuliah agama dan sebagainya. Melayani perasaan yang bergelora
tanpa sebarang aktiviti berfaedah boleh mendorong seseorang individu melakukan
perkara-perkara yang dilarang bersama pasangannya. Jika masa yang terluang
tidak dipenuhi, pemikiran hanya akan ditumpukan sepenuhnya kepada perasaan
cinta yang memenuhi jiwa. Akibatnya, pelbagai tindakan yang tidak wajar akan
dilakukan oleh pasangan bercinta sehingga membawa kepada keterlanjuran yang
begitu menjijikkan.
Amalan membaca al-Quran setiap
hari patut dijadikan rutin harian bagi setiap insan. Membaca sambil menghayati
makna dan kandungan al-Quran akan mendekatkan diri kita kepada Tuhan dan
menimbulkan keinsafan terhadap hakikat kejadian manusia serta fungsi dan
peranan kita sebagai hambaNya. Selain membaca al-Quran, setiap individu boleh
mengisi masa yang terluang dengan zikrullah (berzikir mengingati Allah).
Seseorang yang mengamalkan zikrullah berada dalam keadaan mengingati Allah
s.w.t. Dengan mengingati Allah pula, seseorang itu akan sentiasa mengingati
hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam setiap langkah dan
perbuatannya[18]
6.5
Doa
Berdoa merupakan amalan yang amat digalakkan dalam
Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam
al-Tirmizi dari Ubadah bin Somit r.a. yang bermaksud:
“ Tidak ada seorang Muslim pun
yang berdoa di atas muka bumi ini dengan satu permohonan, melainkan Allah
s.w.t. mengurniakan permintaannya, ataupun menjauhkannya dari keburukan yang
mengenainya, selama mana yang diminta itu bukan merupakan dosa ataupun memutuskan
silaturrahim”.
Apabila
seseorang individu lalai dan melakukan dosa, menjadi tanggungjawabnya untuk
berdoa memohon keampunan dari Allah serta bertaubat dengan bersungguh hati.
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir,
al-Tirmizi, al-Nasa’ dan Ibnu Majah:
“Apabila seseorang itu berbuat
dosa, maka terjadilah titik hitam di dalam hatinya, Apabila dia bertaubat,
menjadi bersihlah hatinya. Tetapi apabila dia menambah perbuatan dosa, semakin
bertambahlah titik hitam itu”.
Oleh
itu, individu yang bercinta mestilah sentiasa berdoa agar dijauhkan dari
melakukan maksiat dan dosa. Walaupun bagaimana pun, doa yang dilakukan mestilah
mengikut syarat-syarat dan adab-adab tertentu yang ditentukan oleh ajaran
Islam.Sebagaimana sembahyang dan zikrullah, doa perlu dijadikan amalan seharian
untuk memastikan setiap perlakuan dan tindakan manusia sentiasa berada di bawah
rahmat keampunan dan keredhaanNya.
7.0 Kesimpulan
Cinta merupakan sesuatu yang indah dan sempurna jika
diletakkan tepat pada tempatnya dan cinta boleh bertukar kepada sesuatu yang
amat hina dan menjijikkan jika disalahgunakan. Perasaan cinta boleh hadir dalam
jiwa seseorang pada bila-bila masa tanpa dipinta dan disedari olehnya. Menurut
perspektif Islam, perasaan cinta yang hakiki hanyalah untuk Allah s.w.t
mendahului dan melebihi cinta kepada Rasul, ibu bapa, negara dan sesama
manusia. Cinta yang berpayung di bawah petunjuk Allah dan Rasul membawa manusia
ke arah keredhaanNya. Sebaliknya, cinta yang bertuhankan hawa nafsu mengundang mala petaka dan
kemurkaanNya.
Bibliografi
Abdul Aziz Ismail, 1995, Membina Minda dan
Peribadi Muslim, Kuala Lumpur, Al
Hidayah Publishers
Al-Quran: Tafsir Pimpinan al-Rahman, 1995,
Kuala Lumpur, Jabatan Perdana Menteri
Asmah Bee Mohd Noor dan Iran Herman, 1995, Membina
Kesejahteraan Remaja,
Selangor, Teknoedar
Farid Al- Din Attar, 1994, Kisah Para Wali
Episod Dari Tazkirat al-Auliya,
Selangor,
Thinker’s Library
Habsah Md. Nor, Isteri Teladan Igauan seorang
Suami, 1998, Ed.4, Kuala Lumpur, Penerbit Darul Nu’man.
Hairunnaja Najmuddin, 2003, Psikologi
Ketenangan Hati, PTS Publications and
Distributors Sdn. Bhd.
HM Tuah Iskandar (Dr.), 2003, Membina Hati
Bahagia, Selangor, Karya Bistari
Sdn.Bhd.
Kamal Abd. Manaf, 1996, Manusia Dan Personaliti
Membentuk Insan Yang sempurna,
Kuala Lumpur,
Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Mohd. Fadzilah Kamsah (Dato’ Dr.) dan Abdullah Hassan
(Dr.), 2004, Menjalin
Hubungan
Bahagia, Pahang, PTS
Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Ahmad al-Rasyid, 1987, Pelembut Hati, Jakarta, Robbani Press
Noraini Ahmad, 1994, Kaunseling Remaja Pengalaman
Peribadi Seorang Kaunselor,
Selangor, Budaya Ilmu Sdn. Bhd.
[1]
Kertas Kerja ini dibentangkan sempena Seminar Kebangsaan Ke-3 Psikologi dan
Masyarakat 2004, Bertema: “Gejala Sosial Dalam Masyarakat”, pada 4 &5
Oktober 2004 di Pusat Latihan KWSP (ESSET) Bangi, Selangor D.E anjuran Pusat
Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, UKM dan Persatuan Psikologi
Malaysia (PSIMA).
[2]Kamus
Dewan, Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur 2000, hlm.241
[3]
Noraini Ahmad, 1994, Kaunseling Remaja Pengalaman Peribadi Seorang Kaunselor,
Selangor Darul Ehsan, Budaya Ilmu
SDN.BHD., hlm. 64
[4] HM
Tuah Iskandar al-Haj (Dr.), Membina Hati Bahagia, Selangor Darul Ehsan, Karya
Bistari SDN. BHD., hlm. 178
[6]
Surah al-Zaariyat 49:51
[7]
Surah al-Taubah 9: 24
[8]
Qurtubi, al-Imam Abu Abdullah Mhammad binAhmad al-Qurtubi. Al-Jami’ li Ahkam
al-Qur’an, jil 4. 1993 hlm.60. Dar al-Kitab al-Ilmiyyah Lubnan.
[10] Habsah Md.
Nor, Isteri Teladan Igauan Seorang Suami, hlm. 73
[11]
Qurtubi, al-Imam Abu Abdullah Mhammad binAhmad al-Qurtubi. Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jil 2. 1993
hlm.40. Dar al-Kitab al-Ilmiyyah Lubnan.
[11] Surah al-Isra’: ayat 24
[12] HM Tuah Iskandar (Dr.), Membina Hati Bahagia,
hlm.228
[13]
Ibid., hlm.156
[14]
Ibid.
[15] Habsah Md.
Nor, op.cit., hlm.237
[16]
Surah Al-A’raaf: 179
[17]
Surah al-Baqarah: ayat 168
[18]
Hairunnaja Najmuddin, Psikologi Ketenangan Hati Edisi Kedua, hlm. 178
Pengalaman Belajar PhD
Assalamua’alaikum semua
Pengalaman belajar PhD ini mungkin berbeza antara sesama kita. Di sini saya
ingin berkongsi pengalaman saya yang tak seberapa. Manalah tahu sedikit
sebanyak bermanfaat dan dapat dijadikan panduan.
MULA BELAJAR PhD
Selepas selesai Ijazah Sarjana Muda di UM saya terus sambung belajar
peringkat Master di UIA. Selepas saja lulus Master saya mula meninjau peluang
pekerjaan dan alhamdulillah mendapat tawaran sebagai pensyarah di UTM. Kiranya
saya mula belajar PhD setelah bekerja sebagai pensyarah di UTM, Skudai Johor.
Itupun setelah beberapa tahun. Agaknya kerana seronok dengan alam pekerjaan...maklumlah
dari kecil saya bercita-cita ingin menjadi seorang pensyarah Universiti.
CABARAN SEMASA BELAJAR PhD
Saya juga menempuh pelbagai cabaran semasa belajar PhD, antaranya:
- Jarak Jauh-Saya tinggal di Johor Bahru dan belajar di Universiti Malaya KL. Setiap kali ingin berjumpa supervisor bermakna saya terpaksa travel ke KL. Cara saya pula, saya sentiasa bawa suami dan anak-anak saya bersama setiap kali ke KL kerana sebab-sebab tertentu terutamanya saya tidak mahu berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil.
- Bahasa-Kajian saya berkaitan status wanita Yahudi. Jadi mostly rujukannya ialah di dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana kajian saya ditulis dalam bahasa Melayu, saya perlu menterjemah bahan-bahan bacaan dalam bahasa Inggeris dan Arab. Boleh dikatakan ia satu tugas yang mencabar dan menuntut kesabaran juga.
- Kerjasama Untuk Interview – Dalam bab interview, saya tidak berjaya dalam usaha untuk mendapatkan kerjasama daripada Rabai Yahudi. Berkali-kali berusaha call dan hantar email, tak berjaya jua atas alasan mereka tidak bersedia. Akhirnya saya hanya dapat interview paderi Kristian.
STRATEGI SAYA
Susah kan nak Graduate on Time (GOT)? Strategi
saya ialah:
- Pilih Tajuk Yang Kita Minat
Pemilihan tajuk
sangat penting. Tajuk mestilah
bertepatan dengan kemampuan kita. Saya pilih tajuk yang saya minat kerana bila
ada minat mendalam, kita tak akan mudah lemah semangat, hilang fokus dan putus
asa walau apa pun rintangan yang menghalang.
- Bersungguh-sungguh Dari Awal
Jujurnya saya
takut-takut nak sambung PhD. Takut susah, takut ujian berat, takut tak mampu
etc. Tapi bila saja saya mendaftar,
saya buang segala perasaan negatif tu. Saya pastikan bulan pertama belajar dan
siap bab 1 dan diikuti bulan kedua siap bab 2, dan seterusnya..bab 3,4,5 siap
pada penghujung setiap semester.
- Komited
Saya cuba
berikan komitmen yang terbaik. Hasilnya cukup tempoh 2 tahun saya sudah selesai
menulis 5 bab tesis saya. Masa
selebihnya saya serahkan tesis untuk supervisor beri komen dan saya buat
penambahbaikan.
- Tidak Memanjakan Diri
Kalau saya
kepenatan atau hilang mood, saya rehatkan diri saya hanya seketika saja.
Kemudian saya cari semula kekuatan untuk sambung kajian. Saya biasakan diri,
setiap kali saya menulis tesis, saya siapkan at least 10-15 halaman untuk
memastikan target saya tercapai. Walaupun
ada anak kecil berumur 3 tahun yang selalunya turut sama berada di atas kerusi
berdiri di belakang saya J
- Kejar Target dan Disiplinkan Diri
Saya tetapkan target dalam penulisan kajian saya
bagi setiap semester. Disiplinkan diri setiap hari mesti menulis atau ada
improvement berkaitan kajian. Tiada istilah ‘tersesat’ dalam masalah atau angan-angan.
- Cekal dan Tidak Putus Asa
Semua orang bertembung cabaran dan ujian
masing-masing ketika belajar PhD. Saya juga tak terkecuali. Saya sudah
mempunyai 3 orang anak ketika belajar PhD. Ketika saya mendapat berita bakal
mendapat anak ke 4, langkah saya makin laju. Saya pastikan penulisan kajian
saya siap sepenuhnya pada awal kehamilan lagi. Walaupun ketika ini saya diuji
oleh Allah dengan masalah janin yang menekan pundi kencing sehingga saya sukar
membuang air secara normal. Ketika ini doktor memutuskan saya perlu memakai
tiub untuk seketika untuk mengelakkan kesakitan yang teramat sangat. Keadaan
ini hanya seketika. Ia berakhir selepas usia kandungan mencapai 3 bulan.
Meskipun sakit saya terus menaip tesis walaupun
sambil berdiri kerana tiub tersebut tidak membolehkan saya duduk dengan selesa.
Kerana saya percaya untuk berjaya, tiada istilah putus asa.
Ujian yang lain ialah anak saya dimasukkan ke wad
ketika menghampiri hari viva tesis saya. Dia hanya dibenarkan keluar dari
hospital sehari sebelum hari viva-voce saya. Hati resah dan berkecamuk kan?
Sabar dan redha...itulah ubatnya. Saya bertawakkal dan sandarkan semua
kepada-Nya.
- ‘Tundukkan’ Hati dan Jangan Sesekali Sombong
Ini petua untuk memudahkan sesi Viva-voce. Bila
nak masuk bilik viva, baca Bismillah..selawat banyak-banyak..baca: Lailaha Illa
Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzalimin..etc. Jangan over confident dan lebihkan
tawadhuk. Rendah diri yang ada dalam diri kita adalah kunci yang membuatkan
kita lebih dipandang tinggi. Saya juga buat persediaan yang rapi untuk sesi
viva walaupun tidak menyangka akan dipermudahkan oleh Allah Taala dengan
kenangan yang begitu manis. Alhamdulillah saya lulus viva yang berlangsung
dalam masa yang singkat tanpa perlu mempamirkan dan menghuraikan slide powerpoint
saya. Hanya menjawab beberapa soalan yang ditanya examiners.
- Niat Belajar Kerana Allah Dengan Penuh Minat
Ini perkara asas yang paling penting sebenarnya. Perkara
utama. Saya sentiasa ingatkan diri tentang niat mencari ilmu kerana Allah.
Kerana itu saya sentiasa rasa berminat mendalami kajian saya. Kerana itu juga
rasa putus asa tidak pernah menjengah fikiran saya. Saya percaya kerana itu
juga Allah permudahkan perjalanan pengajian saya dari awal hingga akhirnya.
Kerana sentiasa memperbetulkan niat Allah kurniakan saya 2 nikmat: dipermudahkan
sesi viva saya malah berturutan selepasnya, saya dianugerahkan University of
Malaya Excellence Award. Semua berlaku dengan izin-Nya. Alhamdulillah.
Akhirnya TAHNIAH saya ucapkan kepada semua yang sedang belajar peringkat
PhD atau telah lulus PhD. Perbanyakkan ibadat dan berdoa. Kuatkan semangat.
Jangan biarkan diri kalah sebelum berjuang! Anda mampu melakukannya. Insya Allah.
Subscribe to:
Posts (Atom)