Saturday, January 30, 2016

Adab dan Kaedah Memohon Maaf

“MAAF!”- Satu Lafaz Cukup Bermakna

Firman Allah SWT. yang bermaksud:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan".
(Surah Ali-Imran: 133-134)

ADAB MEMOHON MAAF

1. Menginsafi dan Mengakui Kesalahan
Sungguh bertuah orang yang cepat tersedar bila tersilap. Ternyata Allah menyayanginya kerana tidak membiarkan dia berada lama-lama di dalam dosa. Hadirnya rasa bersalah dalam diri bila melakukan kesilapan atau dosa merupakan satu petanda adanya iman dalam diri seseorang.

2. Beristighfar dan Solat Taubat
Iltizamkan diri dengan istighfar setiap hari seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Bila buat kesilapan, cepat-cepat beristighfar tanda tidak ingin lagi meneruskan dosa itu. Seterusnya, perbanyakkan Solat Taubat mohon keampunan Allah di atas keterlanjuran. Solat Taubat selain mengembalikan kita kepada maghfirah Allah, ia juga memberi ketenangan jiwa serta mempermudahkan segala urusan hidup.

3. Bertemu Muka dan Bersalaman
Bertemu muka, bersalaman (mengikut batas syarak) dan memandang wajah orang berkenaan ketika meminta maaf juga menunjukkan kerendahan hati dan kesungguhan untuk melakukannya. Namun jika ada halangan untuk bertemu, permohonan maaf tetap perlu dilakukan dengan kaedah-kaedah lain mengikut kemampuan seperti melalui panggilan telefon etc.

4. Memohon Maaf Secara Umum atau Menyebut Kesalahan Secara Spesifik
Ada 2 pendapat berkaitan perkara ini;
Pertama, ada ulamak yang berpendapat meminta maaf secara umum adalah memadai tanpa menyebut jenis kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai jika bertemu di majlis keramaian, hari raya dan sebagainya.
Kedua, ada pendapat ulamak yang mengatakan lebih baik memohon maaf dengan menyebut secara spesifik jenis kesalahan yang dilakukan. Kaedah ini sesuai jika kedua pihak bertemu di tempat yang ada privacy supaya tidak tersebar sebarang keaiban.

5. Hindari Menyalahkan Orang Lain
Sesetengah orang mungkin terasa malu dan sangat berat hati untuk meminta maaf. Jadi dia turut mengaitkan kesalahan orang lain ketika meminta maaf. Menyebut dan menyeret kesalahan orang lain dan menyamakannya dengan kesilapan diri sendiri sepatutnya dijauhi. Juga tidak perlu memberi 'tazkirah' terlebih dahulu sebelum meminta maaf, kerana ditakuti perbuatan seperti itu boleh melukakan hati dan menyukarkan proses permohonan maaf. Cukuplah sekadar meminta maaf bagi diri sendiri kerana sedar telah melakukan kesalahan. Buang rasa malu dan berat hati. Fokus kepada niat yang betul, memohon maaf kerana Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.

6. Ikhlaskan Diri
Mohonlah kemaafan dengan sepenuh hati tanpa paksaan sesiapa dan tanpa tujuan-tujuan tersembunyi. Jika telah meminta maaf dengan ikhlas, sama ada dimaafkan atau tidak, urusan dengannya telah selesai. Teruskan memohon keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui.

Jadilah insan yang MUDAH. Mudah meminta maaf dan mudah memberi maaf

No comments:

Post a Comment